ARAHAN terbaharu Amerika Syarikat (AS) yang meletakkan Malaysia dalam kategori negara Tahap 2 berhubung akses terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI) negara itu bukanlah berita yang menggembirakan.
Arahan yang disahkan oleh Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo semalam itu hadir ketika Malaysia sedang menumpukan usaha untuk menjadi hab pusat data bukan sahaja di rantau ASEAN, malah di seluruh dunia.
Ia boleh menimbulkan persoalan dari sudut tahap keyakinan syarikat-syarikat teknologi maklumat gergasi dunia seperti Amazon Web Services (AWS), Google, Oracle dan banyak lagi yang sebelum ini memilih Malaysia sebagai pusat hab data mereka.
Secara umumnya, arahan AS yang meletakkan Malaysia dalam kategori negara Tahap 2 itu bermaksud syarikat dari negara ini tidak diberikan akses secara penuh kepada cip pusat data berteknologi tinggi yang dibangunkan AS.
Selain Malaysia, negara lain yang termasuk dalam kategori Tahap 2 adalah seperti Singapura, Israel, dan Arab Saudi yang kini bakal dikenakan syarat-syarat lebih ketat kepada akses cip AI tersebut.
Arahan AS terbaharu ini mungkin ada kaitan dengan insiden enam syarikat dari Malaysia yang didakwa oleh negara itu terlibat dalam sektor industri Rusia yang menyokong operasi ketenteraan negara berkenaan dengan Ukraine.
Menurut Jabatan Negara AS, syarikat-syarikat itu tergolong dalam jaringan global yang memberi sokongan ketenteraan kepada Rusia melalui eksport barangan penting seperti mikroelektrik dan kawalan berangka komputer (CNC).
Maka, keputusan AS meletakkan Malaysia dalam kategori negara Tahap 2 boleh disimpulkan negara itu sedang berwaspada dengan Malaysia kerana dibimbangi dijadikan pusat transit teknologi AI kepada negara-negara `musuh’ mereka khususnya Rusia dan China.
Meskipun Malaysia sebagai negara Tahap 2 masih diberi akses kepada teknologi cip dan AI dari AS itu dengan syarat ketat, namun dari sudut jangka panjang, ia bukanlah satu situasi yang menguntungkan.
Malaysia perlu lebih berhati-hati dan mencari peluang untuk mendapatkan semula kepercayaan AS dalam isu ini kerana ia turut melibatkan kepercayaan dan keyakinan pelabur asing khususnya syarikat gergasi teknologi terhadap negara ini.
Sejak sekian lama, industri berasaskan teknologi maklumat termasuk pembangunan cip menjadi antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sektor itu juga antara yang paling tinggi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan menerusi pembukaan kilang dan pusat data syarikat-syarikat berasaskan teknologi dunia di negara ini.
Sehubungan itu, Malaysia tidak ada pilihan sebaliknya perlu menggunakan segala ruang dan peluang diplomasi dengan AS untuk meyakinkan negara tersebut yang mana tumpuan pembangunan teknologi di negara bukannya bagi tujuan peperangan.
Bagi pakar teknologi dan maklumat, Dr. Saaidal Razalli Azzuhri, Malaysia masih berpeluang untuk dimasukkan ke dalam negara Tahap 1 yang diberikan akses penuh kepada teknologi cip dan AI oleh AS.
Antaranya, menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sistem dan Teknologi Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM) berkenaan, adalah dengan mematuhi keperluan sekuriti dan hak asasi manusia yang ditetapkan oleh AS.
Salah satunya, kata beliau, dengan menyertai program Verified End User (VEU) iaitu inisiatif yang dikendalikan oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS) di bawah Jabatan Perdagangan AS.
Program itu membolehkan entiti yang telah disahkan menerima barangan dan teknologi tertentu dari AS tanpa memerlukan lesen eksport individu untuk setiap penghantaran.
Ia bertujuan memudahkan perdagangan dengan entiti yang dipercayai sambil memastikan kawalan eksport yang ketat terhadap barangan sensitif seperti cip dan teknologi AI.
“Bagi Malaysia, penyertaan dalam program VEU terutamanya bagi pusat data, boleh membuka peluang untuk mengakses teknologi canggih dari Amerika Syarikat dengan lebih mudah.
“Ini penting dalam usaha Malaysia untuk menjadi hab pusat data dan teknologi di rantau ini.
“Namun, untuk layak, entiti di Malaysia perlu memenuhi standard keselamatan dan pematuhan yang ditetapkan oleh BIS, termasuk memastikan bahawa teknologi yang diperoleh tidak disalahgunakan atau dipindahkan kepada pihak yang tidak dibenarkan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Selain itu, kata Dr. Saaidal Razalli, Malaysia juga boleh mengambil langkah mitigasi lain seperti mempelbagaikan pasaran serta akses teknologi selain daripada AS, meskipun ia dilihat berisiko tinggi.
Katanya, Malaysia boleh mempertimbangkan untuk memperluaskan kerjasama dengan negara lain bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi AS, seterusnya mengurangkan impak sekatan yang dikenakan pada masa hadapan.
Namun, ujar beliau, Malaysia perlu bersedia untuk dilabel sebagai negara yang perlu lebih diwaspada oleh AS serta kemungkinan lebih banyak pelaburan asing ditarik keluar dari negara ini.
“Ini kerana kebanyakan syarikat gergasi teknologi maklumat berasal dari AS dan sudah semestinya syarikat-syarikat ini perlu mematuhi arahan dari negara mereka untuk tidak melabur di negara yang disyaki berisiko tinggi, sekali gus memberi impak jangka panjang terhadap ekonomi negara serta peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette