KUALA LUMPUR – Penetapan harga lantai padi pada RM1,300 per tan adalah satu tindakan yang didakwa ‘membunuh’ kehidupan pesawah sekali gus mencerminkan kegagalan kerajaan.
Ketua Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Perikatan Nasional (PN), Ronald Kiandee yang kecewa dengan keputusan kerajaan dalam menyelesaikan isu keterjaminan makanan negara.
“Golongan pesawah mula menyuarakan rintihan mereka menerusi beberapa siri demonstrasi kerana kecewa dengan penetapan harga berkenaan.
“Mereka turut mendakwa kerajaan gagal menunjukkan keprihatinan terhadap nasib mereka, terutamanya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ronald, kenaikan harga diesel beri kesan kepada jentera penuai padi dan pembajak yang tidak termasuk dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Ia menyebabkan kos pengeluaran padi melonjak dan menambah beban golongan pesawah, katanya.
“Masalah kekurangan bekalan beras tempatan yang dilaporkan ‘ghaib’ di pasaran masih belum berjaya diselesaikan. Isu ini mencetuskan kebimbangan lebih besar terhadap masa depan keterjaminan makanan negara jika tidak ditangani dengan segera,” ujarnya.
Beliau memberitahu tindakan proaktif perlu diambil bagi memastikan keadilan kepada pesawah dan kelangsungan bekalan makanan negara.
Menurutnya, antara langkah yang dicadangkan ialah menaikkan harga lantai pembelian padi serta memperketat kawal selia terhadap pengilang bagi mengelakkan manipulasi harga yang merugikan pesawah.
Tambahnya, penyelesaian menyeluruh diperlukan bagi mengatasi masalah itu dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani isu berkaitan keterjaminan makanan.
Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga lantai belian padi pada RM1,300 per tan dengan pengilang menawarkan harga belian lebih tinggi iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 per tan di pasaran terbuka. – MalaysiaGazette