PEKAN – Prof Dr. Yatimah binti Alias, 55, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 13 Januari 2025.

Beliau mengambil alih tugas yang sebelum ini disandang oleh Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang telah memegang jawatan tersebut bermula 1 Mac 2022 hingga 31 Oktober 2024.

Kehadiran Prof Dr. Yatimah  yang tiba bagi memulakan tugasan pada hari pertama ini disambut barisan pengurusan universiti dan warga UMPSA di bangunan Canseleri Tun Abdul  Razak di UMPSA Pekan.

Prof Dr Yatimah merupakan Naib Canselor ke-6 dan wanita pertama yang dilantik Naib Canselor UMPSA.

“Terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir atas kepercayaan ini.

“Saya merakamkan penghargaan buat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman, mantan Naib Canselor, Prof Dato Ts Dr Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr Aida Mustapha menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA bermula 1 November 2024.

“Ini adalah satu peluang yang sangat bermakna dalam hidup saya dan  berharap dapat bekerjasama dengan semua staf. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk universiti terunggul dalam bidang teknologi dan kejuruteraan ini”, ujarnya.

Menurutnya, sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA dilihat sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.

Dengan pengalaman yang luas dalam akademik dan antarabangsa beliau mengharapkan usaha akan diteruskan bersama-sama dengan warga UMPSA untuk terus mencapai kecemerlangan  merealisasikan visi ke arah universiti teknologi terunggul.

Prof Dr Yatimah sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Malaya (UM) sejak tahun 2022  memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Electrochemistry -Inorganic dari University of East Anglia, United Kingdom pada tahun 1999 setelah menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda (1993) dan Sarjana dalam bidang Kimia di Universiti Malaya (1996).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM (2014); Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018); dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari tahun 2017 hingga 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here