Ernie Zakri diberi penghormatan menyanyikan lagu tema VM2026.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Ernie Zakri percaya penglibatan dan sokongan golongan artis serta selebriti tempatan dalam menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) adalah peluang besar bagi mempromosi keunikan negara.

Ernie yang diberi penghormatan menyanyikan lagu tema rasmi VM2026, Surreal Experiences berkata, pengaruh selebriti dan artis di media sosial memainkan peranan penting dalam menyerikan kempen tersebut.

“Peranan dan perkongsian kita di media sosial sangat penting sama ada menerusi lagu, video atau pengalaman peribadi, semuanya membantu menyampaikan mesej selari dengan hasrat kerajaan dan kementerian terlibat.

“Apabila kita menunjukkan keindahan negara dan mempromosikannya kepada peminat dalam dan luar, secara tidak langsung mereka akan tertarik untuk melawat Malaysia,” jelasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing Melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB). Foto AIZAT ZAINAL, 6 JANUARI 2025.

Dalam pada itu, ditanya berhubung perasaannya diberi penghormatan menyanyikan lagu tema VM2026, jelas Ernie, penglibatannya dalam kempen tersebut adalah antara momen penting dalam kerjayanya.

“Lagu ini sangat sing along yang disuntik dengan elemen pop supaya mudah diterima oleh semua di mana mesejnya juga ringan tetapi selari dengan objektif kempen.

“Sebagai penyanyi, tugas saya bukan hanya menyanyikan lagu ini tetapi juga mempromosikan industri pelancongan Malaysia melalui platform media sosial,” katanya.

Kempen TMM2026 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini baru-baru ini menjadi antara agenda penting kementerian menjelang 2026.

Dalam majlis sama, logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas TMM2026 turut diperkenalkan.

Kakitangan penerbangan bergambar bersama logo tahun melawat malaysia 2026 (VM2026) selepas pelancarannya di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB). Foto AIZAT ZAINAL, 6 JANUARI 2025.

Sementara itu, seruan Ernie seiring dengan hasrat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, yang menekankan bahawa kempen VM2026 bukan sekadar inisiatif pelancongan biasa tetapi satu langkah strategik untuk membentuk legasi yang memberi impak besar kepada ekonomi dan masyarakat.

King Sing menjelaskan kempen VM2026 memberi fokus kepada dua teras utama iaitu pelancongan mampan dan berkualiti tinggi.

“Kempen ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk menawarkan pengalaman bermakna sambil melindungi khazanah unik negara.

“Ia juga bertujuan meningkatkan ketibaan pelancong dengan menukar lawatan singkat kepada penginapan lebih lama, memperkayakan pengalaman pelancongan budaya dan eko, serta menggalakkan perbelanjaan lebih tinggi melalui promosi pelancongan khusus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here