KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Syed Yazid Syed Omar mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres pemilihan badan induk itu pada 15 Februari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Penaung KLFA, Fahmi Fadzil.
Sebaliknya, beliau hanya menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden FAM.
Beliau dipilih sebagai Presiden KLFA pada Oktober tahun lalu turut memberi jaminan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sebagai peneraju FAM yang seterusnya.
“Saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai Naib Presiden FAM.
“Dalam masa yang sama, saya bagi pihak KLFA menyokong penuh Datuk Mohd Joehari untuk bertanding jawatan Presiden FAM,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsi kepada media hari ini.
Kongres Pemilihan FAM diadakan bagi memilih barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang baharu bagi penggal 2025-2029 dengan presidennya, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah dan ahli korporat, Sayf Ismail antara yang telah menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan presiden.
Sementara itu, Mohd Joehari dikatakan sebagai calon yang ‘direstui’ untuk menggantikan Hamidin. – MalaysiaGazette