KUALA LUMPUR – Tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia minggu lalu tidak menjadi penghakang buat namun beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila mereka kini menghuni ranking kedua dunia.
Berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Sze Fei-Izzuddin terus mengukuhkan kedudukan sebagai beregu utama negara selepas merampas kedudukan kedua daripada beregu utama China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Pasangan yang sebelum ini berada di ranking ketiga kini mencatat pencapaian terbaik dalam karier pasangan berkenaan yang turut menyamai kedudukan ranking tertinggi pernah diraih pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Sze Fei-Izzuddin akan kembali beraksi di Terbuka India bermula hari ini.
Sementara itu, kedudukan ranking Aaron-Wooi Yik tuurt meningkat satu anak tangga daripada enam ke lima dunia biarpun kalah di pusingan kedua Terbuka Malaysia.
Dalam pada itu, kemaraan ke separuh akhir Terbuka Malaysia melonjakkan kedudukan dua beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.
Gandingan Tang Jie-Ee Wei terus konsisten apabila kini mengisi ranking ketiga dunia daripada lima dunia yang juga kedudukan terbaik dalam karier mereka.
Pasangan suami isteri Soon Huat-Shevon yang turut mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia juga mendaki dua anak tangga ke kedudukan empat dunia berbanding enam sebelum ini.
Sementara itu, ketiadaan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia di Terbuka Malaysia susulan kecederaan menyaksikan kedudukan rankingnya terus merosot ke tangga kelapan dunia. – MalaysiGazette