PENGERANG – Projek tambakan perlu dilakukan di kawasan persisir pantai pekan Rengit di sini bagi menghalang hakisan yang berpotensi mengakibatkan rumah dan jalan berdekatan runtuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, kesan hakisan ketika ini semakin membimbangkan dan keadaan itu perlu ditangani segera.
“Kita mohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat tambak batu-batu untuk elak hakisan. Permohonan ini pernah buat tiga tahun lalu, tetapi berlaku lagi, jadi kita perlukan bajet dan akan bincang dengan JPS untuk buat halangan ombak besar,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan hakisan ombak di pekan Sungai Rengit hari ini.
Dalam kejadian pukul 1 pagi semalam, fenomena air pasang besar dan angin kencang berlaku sehingga merosakkan peralatan menangkap ikan milik nelayan serta kedai di pekan tersebut.
Fenomena tersebut turut menghakis tanah melibatkan empat buah rumah di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, Aznan berkata, hakisan pantai berlaku hampir setiap tahun, namun kali ini dilihat agak teruk berikutan fenomena berkenaan.
Apa yang membimbangkan, katanya, ketinggian air laut kini yang mencecah lebih dua meter.
Jelasnya, paras ombak boleh mencapai sehingga 3.5 meter dan akan lebih buruk jika pada masa sama berlaku bersama-sama air pasang serta angin kencang.
“Lima tahun sekali berlaku situasi seumpama ini, tetapi tahun lalu tidak berlaku. Cuma kali ini agak besar dan airnya sampai ke jalan.
“Kita risau bila ombak boleh hakis antara 15 hingga 20 meter, jadi semakin hampir dengan jalan, jika tidak diatasi selepas ini, jalan pula terhakis, kita risau rumah runtuh, jalan pun terputus,” katanya.
Berkenaan empat rumah penduduk yang terjejas, Aznan berkata, mereka semuanya akan dipindahkan ke penempatan sementara.
Menurutnya, langkah segera itu diambil bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin kerana dibimbangi keadaan bertambah buruk.
“Kita risau keadaan ini boleh berlaku lagi, tidak boleh dijangka bila, jadi kita keluarkan mereka dahulu untuk keselamatan mereka,” katanya.- MalaysiaGazette