KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menafikan dakwaan tular menerusi dalam talian mengenai program Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20 yang dikatakan memaksa pelajar bukan Islam menghadiri acara keagamaan Islam.
Universiti itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kekeliruan yang timbul akibat isu komunikasi dan poster program.
Katanya, Pusat Kokurikulum akan mengkaji semula prosedur penganjuran program bagi memastikan pelaksanaannya lebih efisien pada masa depan.
“Penambahbaikan ini termasuk ketelitian dalam penyampaian maklumat dan bahan promosi untuk mengelakkan salah faham.
“UiTM menegaskan program Kem Jati Diri dan Kerohanian dijalankan dengan menghormati sensitiviti agama dan budaya semua peserta.
“UiTM kekal komited memastikan aktiviti kokurikulum memenuhi prinsip inklusiviti dan profesionalisme serta menyumbang kepada pembangunan mahasiswa yang berdaya saing dan berintegriti tinggi,” kata kenyataan hari ini.
Berdasarkan dakwaan yang tular menerusi dalam talian, pelajar Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak dikehendaki untuk menghadiri program berkaitan dakwah Islamiah menerusi Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20.
Poster Kem Jati Diri dan Kerohanian Siri ke-20 itu turut memaklumkan semua pelajar bukan Islam dan 10 pelajar Islam daripada setiap kelas diwajibkan hadir secara bersemuka.
Mengulas lanjut, UiTM berkata, program itu adalah sebahagian daripada silibus kursus kokurikulum Kesatria Negara dan Kesatria Kembara yang dirancang untuk membentuk mahasiswa seimbang dari segi sahsiah, intelek dan spiritual.
Katanya, bagi pelajar Islam, ia merangkumi elemen seperti disiplin, patriotisme, pertolongan cemas, rekreasi dan nilai kerohanian manakala pelajar bukan Islam didedahkan kepada ceramah etika sosial yang sesuai dengan keperluan mereka.
“Program ini melibatkan pelajar daripada kursus kokurikulum Kesatria UiTM. Pelajar Muslim mengikuti ceramah Pengurusan Jenazah (Muslim) di ruang utama masjid manakala pelajar bukan Muslim menghadiri Ceramah Etika Sosial yang berlangsung selama dua jam di Dewan Muktamar bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang.
“Ceramah Etika Sosial bertujuan memberi pemahaman tentang nilai etika dalam kehidupan bermasyarakat termasuk di rumah, tempat kerja dan ruang awam.
“Selepas sesi ceramah tamat, pelajar bukan Muslim menikmati minum petang sebelum dibenarkan pulang,” katanya.
UiTM berkata, tujuan utama program ini adalah membentuk individu dengan kesedaran sosial tinggi dan nilai sahsiah unggul.
“Penggunaan lokasi berhampiran seperti masjid dan dewan muktamar mempermudah pengurusan, menjimatkan masa dan sumber logistik serta memastikan peserta dapat mengikuti aktiviti secara teratur tanpa gangguan,” katanya. – MalaysiaGazette