KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah larangan bersuara bagi menghalang perbincangan terhadap permohonan semakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan isu titah adendum disifatkankan langkah terkebelakang dalam perjuangan kebebasan hak bersuara.
Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, tindakan itu juga menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang sebelum ini menguar-uarkan prinsip ketelusan dan keterbukaan dalam urus tadbirnya.
Menurut beliau, isu titah adendum itu telah pun menjadi pengetahuan umum selain melibatkan kepentingan awam, keadilan kehakiman dan integriti kerajaan, malah turut dibincangkan di Parlimen beberapa kali sebelum ini.
Sehubungan itu, ujarnya, tindakan memohon perintah larangan bersuara terhadap isu tersebut memberi gambaran seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu dengan menggunakan alasan `isu sensitif’.
“Kebebasan bersuara merupakan asas penting kepada sesebuah masyarakat demokratik, dan mana-mana langkah untuk menafikan hak ini seakan menindas kepentingan rakyat dan melanggar prinsip “Madani” oleh kerajaan hari ini.
“Adakah kerajaan begitu takut dengan pendapat rakyat sehingga terpaksa menggunakan langkah sedemikian?
“Ditekankan, pemantauan rakyat adalah salah satu langkah penting dalam memastikan integriti dalam kerajaan dan sistem kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Lawrence, perintah larangan bersuara berhubung isu titah adendum itu juga akan menyebabkan rasa tidak puas hati dan perasaan syak wasangka dalam kalangan rakyat di samping menjejaskan keyakinan mereka terhadap kerajaan.
Ujar beliau, pihaknya menghormati keputusan mahkamah, namun langkah kerajaan untuk mengekang kebebasan bersuara jelas bercanggah dengan prinsip demokrasi dan Madani.
“Tambahan pula, perhatian rakyat terhadap permohonan semakan titah adendum ini adalah satu perkara baik, kerana keterbukaan dan ketelusan ini sudah tentu akan memenangi kepercayaan dan sokongan rakyat.
“Sebaliknya, mana-mana langkah untuk mengawal rakyat sudah tentu akan membawa padah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan gag order bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes Titah Adendum yang mula disebut di Mahkamah Tinggi.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, pihaknya akan memfailkan perkara itu pada 20 Januari ini atas alasan untuk melindungi Institusi Diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R). – MalaysiaGazette