KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas menghantar resume.
Nurulhidayah berkata, permohonan itu dibuat selepas seorang bekas pensyarahnya meminta beliau untuk mencuba nasib pada awal 2024 bagi mengisi jawatan itu selepas salah seorang ahli akan tamat tempoh.
“Saya cuba nasib jer sebenarnya kerana kebetulan saya adalah Alumni UPM yang agak aktif dan saya percaya dengan menjadi sebahagian daripada LPU UPM, lebih mudah untuk saya berkhidmat dengan lebih aktif lagi jika terpilih.
“Alhamdulillah, pada minggu lepas, saya dapat panggilan untuk saya melihat email dan memberi maklum balas jika bersetuju tawaran yang dinyatakan kepada saya. Mulanya saya sangat teruja kerana saya boleh tolong lebih ramai anakĀ² orang susah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjawab tuduhan dan fitnah yang dilemparkan pihak tertentu berikutan pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UPM.
Nurulhidayah berkata, dengan amanah yang dipikul kelak beliau akan menggunakan tiket alumni untuk menggalakkan bekas mahasiswa UPM untuk membantu universiti.
Ini termasuk menyumbangkan tenaga dan apa sahaja bantuan bagi menampung kos pengajian anak golongan susah yang berkelayakan untuk masuk belajar ke UPM.
“Niat saya tidak tersasar dari mana-mana tuduhan tidak berasas yang mempertikaikan kelayakan saya dan kedudukan saya yang kebetulan anak kepada Timbalan Perdana Menteri.
“Saya juga manusia biasa sama seperti orang lain yang masih bekerja, berniaga dan ingin membantu orang atas kapasiti kecil saya sebagai mantan mahasiswa UPM. Sesuai dengan slogan UPM – Berilmu, Berbakti,” katanya.
Jelasnya bukan mudah untuk beliau ditawarkan berkhidmat bersama-sama LPU UPM yang lain jika beliau tidak mempunyai berkelayakan.
“Helping people is my passion. Apa lagi untuk menggalakkan dan membantu mereka yang berkeinginan untuk ke universiti tetapi tidak berkemampuan.
“This will be my very last comment for this LPU UPM issue. LPU UPM jer pun, bukan Ahli Lembaga Pengarah Petronas. Halahh halahh halahhhh,” katanya. -MalaysiaGazette