KUALA LUMPUR – Program antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan para pelajar sekolah berhubung kesedaran di alam siber disifatkan sangat mustahak dalam memperkasakan ilmu melayari dunia siber dengan selamat dan mengurangkan risiko ancaman ketika menerokai dunia digital.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, program seperti itu juga dapat membentuk persekitaran digital yang lebih baik dengan memupuk amalan penggunaan internet bertanggungjawab.
Tambah beliau, program itu juga dilihat sangat penting bagi menangani isu berkaitan dunia siber yang mana merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UiTM dalam memperkasakan pendidikan dan pembangunan komuniti khususnya dalam mencakna kesedaran yang lebih mendalam tentang dunia siber serta keburukan ketagihan internet.
“Satu kajian digital yang dijalankan oleh agensi Meltwater pada tahun 2023 mendapati bahawa golongan muda negara ini secara purata menghabiskan masa melayari media sosial selama dua jam 47 minit setiap hari, melebihi angka purata global iaitu dua jam 31 minit iaitu 16 minit melebihi purata global,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Kembali Ke Sekolah: Kekal Selamat Di Dunia Siber yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Peringgit, Melaka.
Program itu merupakan kerjasama antara pihaknya dengan Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.
Program informasi mengenai dunia siber yang dijalankan secara interaktif dalam bentuk latihan dalam kumpulan dan kuiz itu dihadiri lebih 400 pelajar SK Peringgit.
Pada program itu, beliau juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk memperkukuhkan fasiliti, keperluan atau sebarang bentuk pembangunan berkaitan teknologi maklumat (ICT) di SK Peringgit. – MalaysiaGazette