SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited dalam memperkukuh kesiapsiagaan pegawainya untuk berdepan dengan pelbagai cabaran, seiring dengan aspirasi kerajaan dalam era pendigitalan dan penggunaan teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam ucapan pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 yang diadakan baru-baru ini, menegaskan bahawa langkah ini bertujuan memastikan SPRM mampu menangani isu-isu rasuah dengan lebih berkesan serta memberi impak tinggi kepada masyarakat.
Menurutnya, dalam dunia yang semakin mencabar ini, SPRM perlu sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan pantas teknologi dan perubahan persekitaran sosial untuk memastikan keberkesanan dalam setiap tindakannya.
Dalam usaha meningkatkan keberkesanan operasi, pegawai SPRM digalakkan bertindak secara proaktif dan tindakan proaktif ini bukan hanya tertumpu kepada siasatan kes rasuah semata-mata tetapi turut melibatkan aktiviti pencegahan yang lebih meluas.
Aktiviti pencegahan merangkumi dua elemen penting iaitu pengurusan tatakelola yang baik dan program-program pendidikan antirasuah kepada kumpulan sasar merangkumi pelbagai bidang.
Menerusi pendekatan ini, diharapkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya rasuah akan terus meningkat dan menjadi benteng utama dalam membanteras amalan tidak beretika.
Melalui pembabitan masyarakat secara aktif dalam program-program pendidikan antirasuah, SPRM juga dapat mengukuhkan usahanya dalam membentuk sebuah masyarakat yang lebih telus dan berintegriti tinggi.
Justeru, salah satu aspek utama yang diberi perhatian ialah peningkatan kemahiran dan pengetahuan pegawai SPRM. Latihan berkala dalam pelbagai bidang akan terus dijalankan bagi memastikan para pegawai sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi.
Tambahan pula, latihan yang disediakan bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan semasa tetapi juga memenuhi ekspektasi tinggi masyarakat terhadap SPRM sebagai agensi penguatkuasaan yang berwibawa.
Dengan menyediakan pegawai terlatih dan berpengetahuan luas, SPRM mampu mengekalkan tahap profesionalisme tinggi serta membina kepercayaan awam.
Selain itu, pegawai juga akan dilatih untuk menggunakan teknologi terkini bagi mempercepatkan proses siasatan serta meningkatkan ketepatan data yang diperoleh.
Selain peningkatan kapasiti pegawai, SPRM turut menekankan kepentingan memperkemaskan struktur organisasi dan kaedah pelaksanaan tugas. Ini melibatkan penilaian semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada bagi memastikan ia kekal relevan dan efektif dalam menghadapi cabaran semasa.
Pendekatan holistik ini menunjukkan kesungguhan SPRM dalam menangani isu rasuah secara menyeluruh. Dengan menggabungkan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan usaha pencegahan menyeluruh, SPRM berharap dapat mencapai matlamat jangka panjang dalam mengurangkan gejala rasuah di negara ini.
Namun, kerjasama semua pihak, termasuk sektor awam, swasta dan masyarakat umum amat diperlukan bagi memastikan kejayaan usaha ini.
Sebagai contoh, SPRM kerap mengadakan kolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam kempen kesedaran antirasuah seperti Majlis Ikrar Bebas Rasuah atau sambutan Hari Integriti bagi memperluaskan lagi impak usahanya di seluruh negara.
Dalam dunia yang semakin canggih dan berteknologi tinggi, cabaran terhadap integriti dan ketelusan semakin rumit. Oleh itu, penggunaan teknologi terkini seperti pendigitalan dan AI merupakan satu langkah bijak yang dapat membantu SPRM meningkatkan kecekapan operasi.
Teknologi ini bukan sahaja dapat mempercepatkan proses siasatan tetapi juga mengurangkan risiko kesilapan manusia.
Selain itu, teknologi berperanan penting dalam memantau aktiviti yang mencurigakan dan mengesan sebarang bentuk penyelewengan dengan lebih awal.
Sistem data analitik yang canggih juga akan membantu SPRM membuat keputusan berdasarkan bukti kukuh, yang mana ini amat penting dalam membantu mempercepatkan proses siasatan dan membuat keputusan yang tepat.
Secara keseluruhannya, usaha SPRM untuk meningkatkan kesiapsiagaan pegawai adalah langkah proaktif yang wajar mendapat sokongan semua pihak.
Melalui usaha berterusan dalam memperkasa pengetahuan, kemahiran, serta kecekapan pegawai, SPRM menunjukkan komitmen tinggi terhadap tugasnya sebagai entiti tunggal yang dipertanggungjawabkan untuk mencegah jenayah rasuah di negara ini.
Dengan memperkemaskan struktur dalaman dan memanfaatkan teknologi terkini, diharapkan SPRM akan terus menjadi agensi penguatkuasaan yang unggul dan dihormati. Lebih penting lagi, SPRM harus sentiasa menilai keberkesanan setiap langkah yang diambil agar ia terus relevan dalam menghadapi cabaran masa depan.
Komitmen ini bukan sahaja penting dalam memastikan keberkesanan agensi tersebut tetapi juga dalam membina keyakinan masyarakat terhadap keupayaan kerajaan memerangi rasuah.
Jika semua inisiatif ini dilaksanakan dengan jayanya, ia bukan sahaja akan memberi kesan positif kepada SPRM tetapi juga kepada kesejahteraan negara secara keseluruhan.
Justeru, usaha untuk mengekalkan kecemerlangan dan prestasi tinggi SPRM perlu disokong oleh semua pihak bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang bebas rasuah.
Dengan adanya sokongan padu daripada pelbagai lapisan masyarakat, matlamat negara mencapai kedudukan ke-25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun akan datang tidak mustahil untuk dicapai. – MalaysiaGazette
Hisyam Mohd Yusoff
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)