KUALA LUMPUR – Pas menyeru supaya semua pihak lebih sensitif dan bertanggungjawab dalam menjalankan urus niaga yang melibatkan produk makanan khususnya dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, syarikat-syarikat penjualan hendaklah memastikan produk yang dijual di premis mereka mematuhi piawaian halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas Pusat merakamkan rasa terkejut, geram dan kecewa umat Islam berhubung penjualan produk Ham and Cheese Sandwich yang didakwa dijual di kedai serbaneka KK Mart di Universiti Malaya.
“Perkara ini merupakan satu kesalahan yang serius kerana produk tersebut mengandungi bahan yang tidak halal dan bertentangan dengan prinsip agama Islam.
“Ini bukanlah kali pertama KK Mart sengaja mencetus sensitiviti umat Islam, kerana sebelum ini telah berlaku kes penjualan stokin tertera kalimah Allah oleh rangkaian serbaneka KK Mart pada Mac 2024.
“Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, penjualan produk yang mengandungi daging babi atau bahan tidak halal di premis yang beroperasi dalam kawasan institusi pendidikan negara adalah satu perkara yang amat sensitif dan tidak seharusnya berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairil Nizam berkata, tindakan seperti itu bukan sahaja mencabar sensitiviti agama, malah bertentangan dengan peruntukan undang-undang Malaysia yang menetapkan bahawa segala produk makanan yang dijual di negara ini perlu mematuhi garis panduan halal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sepertimana dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Tegasnya, Pas mengecam keras tindakan penjualan produk tersebut dan meminta pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap pihak yang terlibat.
“Pas berharap perkara sebegini tidak akan berulang dan pihak berwajib dapat mengambil tindakan yang tegas demi memastikan kepentingan umat Islam terjamin,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jerantut. – MalaysiaGazette