Foto media sosial FAM.

KUALA LUMPUR – Seramai 23 pengadil Malaysia telah terpilih untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA untuk tahun ini selepas menampilkan prestasi yang baik.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, kesemua mereka dipilih oleh Panel Pengadil Antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA bagi tahun 2025.

Kata badan induk itu dalam satu kenyataan, senarai yang dikeluarkan oleh FIFA itu terdiri daripada enam pengadil; lapan penolong pengadil; tiga pengadil futsal dan dua pengadil bola sepak pantai.

Turut tersenarai empat pengadil wanita yang terdiri daripada seorang pengadil, dua penolong pengadil dan seorang pengadil futsal.

“Mohd Nazmi Nasaruddin yang merupakan pengadil FIFA sejak tahun 2016 mengetuai senarai enam pengadil selain Razlan Joffri Ali (sejak 2018), Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (sejak 2020), Usaid Jamal (sejak 2022), Kamil Zakaria (sejak 2024) dan juga Izzul Fikri Kamaruzaman yang baru tersenarai tahun ini.

“Penolong pengadil dibarisi oleh Zairul Khalil Tan, Muazi Zainal Abidin, Arif Shamil Abd Rasid, Farhan Abdul Aziz, Shafiq Ahmad Said, Nadziran Aziz, Kesava Raj dan Saharudin Isahak manakala pengadil futsal pula terdiri daripada Helday Idang, Norafendy Norhayalan dan Faiz Jamaluddin.

“Empat pengadil wanita Malaysia juga telah diiktiraf oleh FIFA iaitu Ain Izzaty Zainal selaku pengadil utama sejak 2024 sementara tiga lagi pengadil ialah Nur Akmal Anuar, Munirah Ha Ali (penolong pengadil) dan juga Atikah Janah (pengadil futsal).

“Dengan perkembangan terbaharu ini, ia dilihat selaras dengan Pelan Strategik Fasa 2 F:30 2023-2026 yang direncana FAM bagi melahirkan lebih ramai pengadil bertauliah FIFA termasuklah dalam kalangan pengadil wanita,” kata FAM di media sosial miliknya di sini hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here