KUALA LUMPUR – Teknologi terutamanya kecerdasan buatan (AI), harus dimanfaatkan dengan lebih bijak untuk mencegah isu-isu sensitif berkaitan dengan agama, bangsa, dan institusi diraja daripada tersebar di media sosial.
Penaung Sri Maha Mariamman Kuil Dhevastanam Kuala Lumpur, Datuk N Sivakumar melahirkan kekecewaan berikutan insiden tular baru-baru ini yang mempersenda ‘Dewa Murugan’ dalam bentuk animasi di platform TikTok telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan penganut agama Hindu.
Kata Bendahari Agung MIC itu, video tersebut jelas melanggar batas dan tidak menghormati sensitiviti agama menggunakan teknologi moden pada masa kini.
“Sebagai sebuah aplikasi yang digerakkan oleh AI, TikTok seharusnya lebih canggih dalam mengawal kandungan seperti ini secara automatik. Segelintir pengguna media sosial yang bertindak tanpa berfikir sebelum memuat naik kandungan yang langsung tidak jaga sensitiviti pelbagai pihak.
“Adakah mereka ini hanya mengejar ‘likes’ dan pengikut tanpa memikirkan kesan terhadap masyarakat? Janganlah bersikap kebudak-budakan. Jika anda menjadi pempengaruh, bertanggungjawablah dengan kandungan yang anda hasilkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular di laman sosial berkenaan video yang dihasilkan oleh seorang pelancong asing menerusi TikTok yang mengguna nama ‘Koshish Lama’ yang menggunakan imej janaan AI bagi membuatkan imej Dewa Murugan seolah-olah bergerak.
Video itu mencetuskan kemarahan penganut agama Hindu yang menyifatkan tindakan pelancong asing berkenaan sebagai biadab, tidak sensitif serta tidak menghormati agama dan budaya pelbagai kaum di negara ini.
Sivakumar juga memuji langkah kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital yang telah memperkenalkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) untuk meningkatkan keselamatan atas talian di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Namun, beliau menekankan langkah ini perlu disokong dengan penggunaan teknologi yang lebih maju.
“Walaupun sistem pelesenan ini merupakan langkah baik, pengawasan atas talian tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada tenaga manusia untuk memproses aduan.
”Teknologi AI perlu digunakan secara maksimum untuk mengesan dan menyekat kandungan yang menyentuh sensitiviti keagamaan sebelum ia disiarkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sivakumar juga mencadangkan agar Malaysia belajar daripada tindakan negara seperti India yang telah melarang penggunaan TikTok untuk melindungi rakyatnya daripada kandungan tidak sesuai.
“Gunakan teknologi dengan bijak untuk memastikan platform media sosial menjadi ruang yang selamat dan harmoni bagi semua pihak,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Jana imej Dewa Murugan di Batu Caves dengan teknologi AI tindakan biadab – DHPP