KUALA LUMPUR – Penipuan berkaitan pelaburan telah menjadi jenis penipuan yang paling berleluasa di negara ini.
China Press melaporkan, daripadanya, banyak kes penipuan adalah membabitkan ‘guru pelaburan’ yang menawarkan kelas kepada orang ramai sebelum memperdaya mereka untuk melabur dalam saham dan syarikat tertentu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, scammer pelaburan biasanya akan menyembunyikan belang mereka selama beberapa bulan, malahan selama setengah tahun, sebelum mula melakukan penipuan.
Beliau berkata, scammer malahan akan memberikan “gula-gula” supaya mangsa terus menambahkan wang dalam pelaburan.
“Banyak mangsa hanya menyedari mereka tertipu selepas menghabiskan semua harta yang ada,” katanya.
Nie Ching berkata, scammer menggunakan pelbagai kaedah untuk menjerat mangsa ke dalam perangkap skim pelaburan.
Katanya, yang lebih biasa adalah memasukkan pengguna ke dalam kumpulan sembang tertentu, termasuk melalui WhatsApp dan Telegram.
Menurut Nie Ching, ‘pelakon’ dalam kumpulan sembang kemudian akan menyamar sebagai pelabur yang berjaya untuk menyakinkan mangsa.
“Pelakon berkenaan malahan akan menghantar gambar bangunan di Hong Kong semata-mata mahu menyakinkan mangsa bahawa pelaburan yang dibuat adalah boleh dipercayai,” katanya.
Tambah Nie Ching lagi, sesetengah ‘guru pelaburan’ hanya menawarkan kelas berbayar, dan mangsa pula menyangka kelas sedemikian boleh dipercayai.