ALOR SETAR – Sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan ke atas beberapa kilang elektrik dan elektronik serta kilang berasaskan getah, logam yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di sekitar Alor Setar dan Kubang Pasu dekat sini, semalam.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kompaun itu dikeluarkan menerusi Ops Gempur yang dilaksanakan pihaknya untuk mempertingkatkan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Sebanyak lapan premis terdiri daripada kilang elektrik dan elektronik, kilang berasaskan getah dan logam diperiksa di dua daerah tersebut.
“Susulan itu, lapan arahan lapangan, sembilan notis arahan dan tujuh kompaun telah dikeluarkan selepas kita mendapati ada premis melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 khususnya berkaitan pengurusan buangan terjadual.
“Selain itu, kita turut mengeluarkan notis arahan mengikut Seksyen 31 & 37 ke atas premis berkaitan penambahbaikan kawasan stor penyimpanan buangan terjadual dan meningkatkan kebersihan, pelabelan dan kemaskini inventori buangan terjadual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Sharifah Zakiah, objektif Ops Gempur bertujuan memastikan pihak industri sentiasa mematuhi keperluan perundangan dalam mereka menjalankan operasi premis.
“Selain itu, ia juga menunjukkan keseriusan JAS Kedah dalam membanteras dan mengambil tindakan perundangan kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya. – MalaysiaGazette