MELAKA – Satu kain rentang ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light yang telah difatwakan sesat oleh pihak berkuasa dikesan dipasang di jejantas Lebuh AMJ di Peringgit Jaya di sini sejak pagi tadi.
Tinjauan MalaysiaGazette pada pukul 8.40 pagi tadi mendapati, kain putih ajaran sesat itu dipercayai baru digantung individu tidak bertanggung jawab malam tadi.
Ia tertera tulisan ‘Abdullah Hashem Adalah Al- Mahdi Ahmadi Agama Keamanan & Cahaya.
Sementara itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi terkejut dengan penularan berkenaan.
Sehubungan itu, satu tindakan segera akan dibuat selepas beliau turun padang ke lokasi berkenaan tengah hari ini.
Pada 24 Disember lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.
Pengerusinya, Datuk Dr Nooh Gadot berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah menyembah maklum pandangan hukum berkenaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada 23 hingga Oktober lalu.
Katanya, Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan itu bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.
Menurutnya, mana-mana individu atau kumpulan orang yang mengamalkan dan menyebarkan fahaman, ajaran dan pegangan seumpama ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran ini serta dilarang berpegang dan beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah mengikut dan mengamalkan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.
“Apa-apa publisiti, pengajaran, penulisan, penyiaran dan penerbitan bahan bercetak audio visual atau apa-apa yang berkaitan dengan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat,” katanya. – MalaysiaGazette