BUTTERWORTH – Seorang jurujual direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan sepucuk pistol berserta kelopak peluru dan 67 butir peluru hidup di persisiran Pantai Robina di sini, pada Selasa lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 28 tahun itu dikeluarkan Penolong Pegawai Pendaftar Mahkamah Tinggi Butterworth, Nuha Farzana Nor ‘Azam bermula hari ini sehingga 22 Januari depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap polis berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah jam 11.05 pagi dengan diiringi polis bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
MalaysiaGazette difahamkan, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu diberkas polis jam 2.15 petang di sebuah pangsapuri di Teluk Air Tawar di sini, semalam.
Suspek dikatakan membuang senjata itu di Pantai Robina selepas bapa mentuanya ditahan polis bagi membantu siasatan melakukan ugutan jenayah.
Media pada Selasa lalu melaporkan, Polis Pulau Pinang sedang mengenalpasti suspek susulan penemuan kotak mengandungi sepucuk pistol berserta kelopak peluru dan 67 butir peluru hidup di persisiran Pantai Robina di sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, polis dari Balai Telok Ayer Tawar menerima maklumat pada jam 4.30 pagi dari seorang pemancing di pantai berkenaan berhubung kotak yang berbalut dengan plastik hitam.
“Hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut membawa kepada penemuan pistol, peluru hidup dibalut dengan kertas majalah yang kesemuanya dianggarkan 67 butir peluru pelbagai jenis.
“Suspek dalam kejadian ini masih belum dapat dikenalpasti dan pihak polis sedang berusaha mengesan suspek terlibat.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan media. – MalaysiaGazette