KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan kerajaan membayar pelarasan pencen mengikut formula sebelum pindaan Akta Penyelarasan Pencen 1980.
Pencen itu juga perlu dibayar dalam tempoh tiga bulan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada sekumpulan kerajaan yang diketuai oleh bekas penjawat awam di Kementerian Luar, Aminah Ahmad yang turut mewakili 54 pesara hari ini.
Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas mendapati pekeliling perkhidmatan yang dikeluarkan pada 2016 membolehkan penyelarasan pencen dibuat.
Kata beliau, para pesara ini berhak menerima pencen yang selaras dengan semakan gaji berdasarkan Akta Penyelarasan Pencen 1980 (PAA).
Mahkamah juga menolak permohonan Peguam Persekutuan, M Kogilambigai yang mewakili kerajaan selaku responden untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu.
Aminah yang mewakili 56 pesara kerajaan lain memfailkan permohonan dengan menamakan Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah JPA sebagai responden pertama dan kedua.
Beliau memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada amaun kelayakan pencen mengikut formula dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Penyelarasan Pencen 1980 sebelum pindaan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013.
Wanita juga memohon perintah supaya kedua-dua responden melaksanakan pembayaran tunggakan pencen kepada mereka mengikut formula sama dalam tempoh 14 hari atau pada masa yang ditentukan oleh mahkamah.
Selain itu, defendan juga memohon perintah dalam bentuk perisytiharan, iaitu bahawa tindakan responden tidak membayar tunggakan berkenaan adalah tidak konsisten dengan Artikel 4(1), 5(1) (kebebasan diri) dan 8(1) (perlindungan sama rata) Perlembagaan Persekutuan.
Aminah memfailkan saman terhadap kerajaan pada 2017 di atas kapasiti peribadinya dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, dengan mendakwa pindaan kepada Akta Penyelarasan Pencen menyebabkan keadaan yang agak merugikan kepada beliau berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini mengikut Akta Pelarasan Pencen 1980.
Untuk makluman, bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred berkenaan, bagaimanapun pindaan 2013 yang diperkenalkan adalah berdasarkan kadar rata (flat rate) dua peratus kenaikan tahunan.-MalaysiaGazette