KUALA LUMPUR – Malaysia menyifatkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan serta mereka yang ditahan sewenang-wenangnya dicapai pada 15 Januari 2025 sebagai perkembangan yang amat dialu-alukan.
Kementerian Luar Negeri berkata, ini adalah langkah pertama yang penting untuk menamatkan konflik selama 15 bulan yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa, penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan Gaza.
Gencatan senjata tersebut akan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu, yang amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih berada di Gaza, terutamanya ketika musim sejuk yang sangat mencabar ini.
“Malaysia memuji Kerajaan Republik Arab Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai perjanjian ini.
“Usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kementerian berkata, Malaysia kekal teguh bersolidariti dengan Palestin dan melihat peluang bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu bagi mencari penyelesaian kekal kepada salah satu konflik yang paling lama berlarutan di dunia.
“Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, dan mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, sebagai matlamat utama untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Timur Tengah,” tambahnya. – MalaysiaGazette