KUALA LUMPUR – Polis meminta orang ramai menghentikan aktiviti mengutip kerang di sepanjang pesisir Pantai Sura, Dungun, Terengganu bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, arahan larangan itu dikeluarkan berikutan keadaan ombak besar dan angin kencang yang sedang melanda ketika ini.
Ujar beliau, angin kencang berkelajuan kira-kira 60 kilometer per jam dengan ombak setinggi 4.4 meter meletakkan pesisir pantai di daerah itu dalam berisiko tinggi.
“Perubahan cuaca yang tidak menentu juga boleh mendatangkan risiko kepada orang ramai dan pihak polis mengeluarkan arahan ini berkuat kuasa dengan serta-merta.
“Kita memandang serius aktiviti ini dan arahan memberhentikan aktiviti mengutip kerang bertujuan mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Terdahulu, tular di laman sosial video ratusan penduduk tempatan yang mencari kerang di sepanjang pesisir Pantai Sura terbabit seolah-olah sedang berlangsung satu pesta.
Sementara itu, Maizura berkata, polis akan terus menjalankan pemantauan dan berharap supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai.
Tegas beliau, tindakan undang-undang juga akan diambil sekiranya terdapat individu yang tidak mengendahkan arahan yang dikeluarkan itu. – MalaysiaGazette