KUALA LUMPUR – Produk ‘Ham and Cheese Sandwich‘ bukan sahaja tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM.
Perkara ini disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan lewat malam tadi.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pemeriksaan yang dijalankan pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari 2025 lalu mendapati produk tersebut tidak mempunyai sijil halal.
Beliau berkata, hasilnya tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 telah diambil oleh pihak KPDN.
“Dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia,” katanya.
Artikel berkaitan:
- Pembekal sahkan bahan dalam sandwich ham diperakui halal Jakim
- Kilang ham sandwich diserbu, sample dihantar ke Jabatan Kimia
- Insiden jual sandwich ham, KK Mart perlu tetapkan SOP pembelian – PKR
Menurut Sirajuddin, penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.
Hal ini, katanya, kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara keseluruhan.
“JAKIM menggesa pengusaha-pengusaha di luar sana supaya cakna terhadap peruntukan undang-undang yang digunapakai bagi mengelakkan daripada perkara sebegini berulang,” katanya.
Semalam syarikat pembekal kepada KK Mart, Shake and Bake Cafe Sdn Bhd tampil mengemukakan bukti bahawa bahan yang digunakan dalam produk sandwich ‘ham & cheese’ diperakui halal oleh JAKIM. – MalaysiaGazette
Lagi artikel berkaitan:
- Siasat penjualan ‘sandwich ham halal’ di KK Mart UM – Dr Akmal
- Ham and cheese sandwich tiada sijil halal – Naim