KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai menegaskan, siasatan yang dijalankan perlu melalui prinsip akauntabiliti dan ketelusan pentadbiran.

“Saya bersetuju untung rugi dalam pelaburan atau urus niaga di pasaran saham adalah perkara biasa. 

“Namun, jika dana tersebut datang daripada rakyat, kerajaan tidak seharusnya berkompromi dalam menjalankan siasatan yang menyeluruh, memastikan ketelusan urus niaga ini dan melaporkan hasilnya kepada umum.

“Sama ada rugi atau kurang untung RM5 ini, ia tetap akan menjejaskan dividen KWSP, sekali gus merugikan ahli-ahlinya,” jelasnya.

Dominic turut mempersoalkan mengapa kerugian besar berkenaan tidak diberi perhatian serius, sedangkan kerugian RM43.9 juta dalam pelaburan Fashion Valet Sdn Bhd oleh Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga menekankan terdapat persoalan penting yang perlu dijawab berkaitan urus niaga saham MAHB, termasuklah  pegangan saham KWSP yang secara konsisten berada dalam lingkungan 10% hingga 15% sejak Mac 2010 hingga Mac 2023. 

Namun, pada Disember 2023, pegangan itu merosot secara drastik apabila sebahagian besar saham dijual sehingga hanya tinggal 5.29%.

“Selepas itu, pada Mei 2024, kerajaan mengumumkan rancangan untuk menswastakan MAHB melalui KWSP dan Khazanah Nasional. 

Pada ketika ini, KWSP pula dengan tergesa-gesa membeli semula 25% saham MAHB di pasaran pada harga tinggi RM11 sesaham, meningkatkan pegangan saham mereka kepada 30%!,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama,  Dominic berkata, beliau tidak dapat menerima alasan KWSP menggunakan istilah “firewall”  sebagai tanda profesionalisme pentadbiran, terutama apabila saham dijual pada harga rendah dan dibeli semula pada harga tinggi dalam tempoh singkat.

Beliau berpendapat tindakan tersebut menunjukkan kelemahan dalam pengurusan risiko pelaburan KWSP, yang bertentangan dengan matlamat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat melalui GLC.

“Adakah kerajaan berniat untuk membiarkan ‘kesilapan pelaburan’ ini berakhir tanpa sebarang tindakan, seperti isu-isu lain sebelum ini?.

“Jika ya, lebih baik kerajaan ini tidak dipanggil Kerajaan Madani tetapi elok dipanggil kerajaan ‘Gagalni’,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here