KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia digesa supaya komited memberikan perhatian kepada kebajikan para petugas kesihatan terutamanya para doktor, jururawat, dan pembantu perubatan yang berterusan mengeluh kerana beban kerja dan pengabaian kebajikan mereka.
Pengarah Biro Kesihatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, sejak kebelakangan ini, ramai petugas kesihatan mengeluh kerana mendakwa mereka tidak dilayan ‘secara adil’ sedangkan sudahpun meluaskan amanah untuk menjaga kesihatan rakyat.
Menurut beliau, para petugas kesihatan mendakwa, jadual tugas merumitkan, sistem penggiliran yang menyukarkan, dan penyusunan semula elaun kerja lebih masa telah menyebabkan ramai dalam kalangan mereka ‘tidak gembira’ untuk bekerja.
Jelas beliau, walaupun kita memahami ruang fiskal kerajaan yang sempit namun isu kebajikan para petugas kesihatan adalah sesuatu yang tidak boleh dikesampingkan.
“Kita juga memahami bahawa gaji penjawat awam baru sahaja dinaikkan, termasuklah gaji para doktor dan petugas kesihatan yang lain.
“Namun begitu, jumlah mereka yang meninggalkan perkhidmatan juga semakin meningkat, sementelah aduan berkenaan kesihatan mental juga semakin kedengaran.
“Isu ini jika tidak ditangani dengan segera, pasti akan menjadi barah yang akan menghakis kepercayaan dan meruntuhkan sistem perkhidmatan kesihatan yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, beliau mahu kerajaan memperjuangkan dalam aspirasi Malaysia Madani, selari dengan semangat Kertas Putih Kesihatan yang telahpun diluluskan di Parlimen pada tahun lalu. – MalaysiaGazette