Gambar hiasan

ANDA atau anak anda pernah terfikir untuk memakai pendakap gigi palsu demi gaya atau kerana harganya lebih murah? Hati-hati! Pendakap gigi palsu bukan sahaja tidak memberi faedah kesihatan tetapi juga boleh membahayakan kesihatan mulut dan keseluruhan tubuh.

Mari kita kenali apa itu pendakap gigi palsu atau “fashion braces”. Pendakap gigi palsu ini hampir menyerupai pendakap gigi tetapi ia boleh dibeli sendiri melalui laman sesawang, dipasang sendiri dan ada juga pakar kecantikan yang menyediakan khidmat pemasang pendakap gigi palsu.

Alat ini tidak melalui seliaan keselamatan dan tidak menggunakan teknologi yang betul sebelum dipasarkan. Iya, anda mungkin berfikir, pendakap gigi palsu ini harganya jauh lebih murah, mudah dan cepat untuk didapati atau anda juga mungkin berfikir pendakap gigi pals cuma untuk berfesyen. Akan tetapi, pendakap gigi palsu ini boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan gigi dan gusi anda atau anak anda.

Di Malaysia, pakar kecantikan di media sosial sering kali kelihatan aktif dalam mempromosikan pendakap gigi palsu. Berikut adalah beberapa implikasi pemakaian pendakap gigi palsu yang perlu anda ketahui.

Kerosakan pada gigi dan gusi
Pendakap gigi palsu tidak direka untuk memenuhi keperluan ortodontik individu. Pendakap gigi palsu dipasang sendiri tanpa pemeriksaan yang lengkap oleh doktor gigi atau pakar ortodontik. Pemasangan pendakap gigi digam ke gigi tanpa mengambil kira status kesihatan gigi atau keperluan untuk menampal gigi yang berlubang.

Oleh kerana pendakap gigi palsu ini tidak direka khususnya untuk pergerakan gigi yang betul, ia boleh menyebabkan kerosakan pada gigi dan gusi. Ini kerana, pendakap gigi yang dipasang menyebabkan tekanan yang tidak tepat dan boleh menyebabkan gigi menjadi longgar, retak atau berganjak ke kedudukan yang salah.

Rekaan pendakap gigi palsu yang kasar dan bahan yang tidak sesuai sering menyebabkan keradangan gusi. Gusi akan menjadi merah, bengkak dan mudah berdarah.

Jangkitan mulut
Poses pemasangan pendakap gigi palsu yang tidak menitikberatkan kebersihan, tidak mengikuti garis panduan etika dan tidak menggunakan peralatan yang tepat boleh menyebabkan jangkitan kuman di dalam mulut gigi anda atau anak anda.

Pendakap gigi palsu biasanya diperbuat daripada bahan murah seperti logam berkualiti rendah atau plastik, yang boleh memudaratkan kesihatan mulut. Bahan yang tidak selamat ini boleh menyebabkan alahan, keradangan atau bahkan toksik kepada tisu mulut. Selain itu, rekaan pendakap yang sukar dibersihkan meningkatkan risiko pembentukan plak, karies gigi dan periodontitis.

Risiko kesihatan sistemik
Pada tahun 2018, pendakap gigi palsu telah diharamkan di negara Thailand selepas satu insiden tragik melibatkan seorang remaja yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung. Kejadian ini dipercayai berpunca daripada penggunaan pendakap gigi palsu yang mengakibatkan jangkitan serius.

Pendakap gigi palsu, yang sering digunakan untuk tujuan kosmetik, boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan. Jangkitan dari mulut yang tercemar berpotensi merebak melalui aliran darah.

Ini boleh menyebabkan masalah seperti jangkitan pada jantung (endokarditis) atau sepsis, keadaan yang berbahaya dan boleh membawa maut. Pengharaman ini merupakan langkah tegas untuk melindungi kesihatan masyarakat, terutama golongan muda yang cenderung terpengaruh oleh trend.

Risiko tertelan atau tercekik
Komponen pendakap palsu yang longgar atau patah boleh tertelan atau masuk ke saluran pernafasan, membawa kepada keadaan kecemasan perubatan.

Tiada faedah ortodontik
Pendakap palsu bukan sahaja tidak memberikan sebarang manfaat pembetulan gigi, sebaliknya, ia boleh memperburuk kedudukan gigi sedia ada. Khidmat rawatan ortodontik yang selamat dan berkesan perlu melalui doktor gigi atau pakar ortodontik.

Doktor gigi dan pakar ortodontik telah melalui latihan untuk mengenal pasti masalah gigi dan rahang, dan juga boleh menilai rawatan yang tepat untuk setiap masalah penyusunan gigi yang berbeza. Doktor gigi akan memantau pergerakan setiap gigi untuk memastikan rawatan pergigian selamat dan berjalan lancar.

Kos rawatan tambahan
Penggunaan pendakap palsu sering membawa kepada kerosakan serius yang memerlukan rawatan tambahan seperti pembedahan atau rawatan ortodontik lanjutan. Kos rawatan ini bukan sahaja mahal tetapi juga memakan masa.

Kesimpulannya, pastikan anda hanya mendapatkan rawatan ortodontik daripada doktor gigi atau pakar ortodontik yang bertauliah. Anak anda mungkin berasa takut atau mempunyai kebimbangan berhubung prosedur pemasangan pendakap gigi, tetapi jangan risau, doktor gigi dan pakar ortodontik akan memastikan proses tersebut dilakukan sebaik mungkin dan keselesaan pesakit amat dititik beratkan.

Pendakap gigi palsu bukan sahaja tidak membantu memperbaiki senyuman anda, tetapi juga membahayakan kesihatan keseluruhan. Oleh itu, elakkan penggunaan pendakap palsu dan dapatkan nasihat daripada profesional pergigian jika anda memerlukan rawatan ortodontik.

Oleh: Dr. Iman Azmuddin dan Siti Nur Rasyidah Md Ramli
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here