PULAU KETAM – U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) komited dalam melancarkan projek rangkaian 5G kedua negara selewat-lewatnya awal tahun depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi U Mobile yang juga pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun hari ini.
Beliau mendedahkan, projek itu tidak dibiayai kerajaan mahupun mana-mana rakan kongsi sebaliknya syarikat itu mampu berdiri sendiri memandangkan pengalaman luas dalam dunia telekomunikasi selama puluhan tahun.
Tanggapan segelintir pihak kononnya U Mobile sedang bergelut dan memerlukan penggabungan itu tidak benar sama sekali, katanya.
“Saya sudah mulakan Digi lebih 30 tahun dahulu kemudian ada U Mobile dan juga REDTone. Tunggulah 15 hingga 18 bulan ini, baru semua tahu apa itu ertı perjuangan.
“Ramai sudah tawarkan pinjaman kepada kami, lebih daripada apa yang kita perlukan sebenarnya. Kita tunggu,” katanya kepada media selepas lawatan dan majlis sumbangan sempena Tahun Baru Cina untuk masyarakat Tionghua di pulau itu hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, pemilihan U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G kedua negara dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor.
Vincent juga mendedahkan pihaknya tidak mahu rakama kongsi sebaliknya akan bekerjasama dengan pembekal komunikasi seperti Huawei Technologies Co Ltd dan ZTE Corp yang difahamkan kompeten dalam teknologi 5G. – MalaysiaGazette