Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub.

KUALA LUMPUR – Jawatan kerusi ‘panas’ Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menjadi milik naib presidennya, Datuk Joehari Mohd Ayub yang dijangka menang tanpa bertanding apabila tiada pencabar yang memiliki pencalonan yang mencukupi.

Ia selepas FAM hari ini mengumumkan senarai awal nama 29 orang calon yang layak bertanding untuk pemilihan yang akan berlangsung pada Kongres FAM Ke-61 pada 15 Februari 2025 bagi mengisi 17 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said berkata, terdahulu kesemua 18 ahli gabungan FAM (tidak termasuk Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang digantung keahlian) telah diberi masa selama 24 hari iaitu dari 24 Disember lalu hingga semalam untuk mengemukakan senarai nama calon masing-masing bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco).

“Selepas tempoh akhir yang diberikan iaitu pukul 5.30 petang semalam (Khamis, 16 Januari 2025) terdapat satu ahli gabungan yang tidak menghantar borang pencalonan manakala satu ahli gabungan yang menghantar borang pencalonan tetapi tidak sempurna.

“Oleh itu, hanya pencalonan daripada 16 ahli gabungan yang sah diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM.

“Selepas proses pengiraan, jumlah keseluruhan calon yang diterima ialah seramai 39 orang tetapi hanya 29 orang calon yang akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan memandangkan baki 10 orang calon lain itu tidak mendapat jumlah pencalonan minimum seperti yang termaktub dalam Artikel 31, Perenggan 6, Statut FAM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

senarai awal nama 29 orang calon yang layak bertanding untuk pemilihan yang akan berlangsung pada Kongres FAM Ke-61 pada 15 Februari 2025 bagi mengisi 17 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029.

Abdullah menambah, bagi menandingi jawatan presiden, seseorang calon itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya enam pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM manakala bagi jawatan timbalan presiden memerlukan lima pencalonan, jawatan naib presiden memerlukan empat pencalonan manakala jawatan ahli jawatankuasa Eeksekutif (Exco) memerlukan dua pencalonan.

Katanya, calon-calon yang layak untuk bertanding itu akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan untuk mereka membalas semula borang berkenaan selewat-lewatnya 23 Januari ini dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang dicalonkan atau sebaliknya iaitu tidak bersetuju.

“Pada masa yang sama, Jawatankuasa Pemilihan FAM juga akan menghantar nama mereka untuk proses saringan integriti membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).

“Seterusnya, Jawatankuasa Pemilihan FAM akan mengumumkan senarai akhir iaitu senarai rasmi nama calon yang layak bertanding pada pemilihan kali ini, pada/selepasĀ  23 Januari ini atau selewat-lewatnya pada 8 Februari depan iaitu tujuh hari sebelum kongres berlangsung di mana senarai sama juga akan dihantar kepada 18 ahli gabungan untuk makluman mereka.

Sementara itu, dua individu iaitu Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh layak bertanding untuk dua jawatan iaitu Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco).

Bagaimanapun, mereka perlu memilih hanya satu jawatan untuk bertanding menerusi jawapan balas dalam Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here