Pemukiman Menteri Luar ASEAN 2025 diadakan di Langkawi, Kedah pada 18 dan 19 Januari 2025. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JANUARI 2025.

LANGKAWI- Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang akan berlangsung esok bakal mencorakkan hala tuju Kepengerusian ASEAN sepanjang tahun ini.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara yang dibincangkan dan dipersetujui pada permukiman itu akan dibawa ke peringkat mesyuarat tertinggi melibatkan ketua-ketua negara ASEAN yang dijadualkan pada Mei dan Oktober atau awal November nanti.

“Dalam mesyuarat itu (AMM) nanti memang dari segi substansifnya akan ada perbincangan, kita akan mengeluarkan kenyataan selepas daripada hari kedua berkenaan dengan mesyuarat Permukiman Menteri Luar ASEAN.

“Ia akan mencorakkan, yang akan menyediakan platform untuk dikemukakan di peringkat ketua-ketua negara yang akan diadakan dua kali pada pertengahan tahun ini dan pada bulan Oktober atau awal November,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa AMM  di sini, pada  Jumaat.

Beliau berkata AMM juga disifatkan penting berikutan kedudukan Malaysia sebagai Peneraju Tetap Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Visi Komuniti ASEAN (HLTF-ACV) Pasca-2025 yang turut menjadi antara perkara yang akan disentuh esok.

Sementara itu, Mohamad ketika mengulas mengenai persiapan penganjuran AMM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, di sini, berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dibuat dan berharap akan memberikan keselesaan kepada delegasi yang hadir.

“Saya berharap keselesaan untuk semua pihak yang disediakan ini akan mencapai tahap yang baik kerana bukan sahaja kita menerima tetamu dari dalam negara tetapi ramai tetamu dari luar negara. Dan ini akan memastikan kita perlu satu kesiapsiagaan yang baik dari segi logistiknya,” katanya.

Permukiman AMM, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, merupakan mesyuarat peringkat menteri pertama ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia bagi 2025, yang menjadi pembuka tirai bagi tahun yang sibuk dan penting.

Lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN, bersama negara pemerhati Timor-Leste, dijangka menghadiri permukiman kali ini.

—  BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here