Buruh binaan, Mohammad Rosyid, mengaku bersalah cuba sogok anggota polis RM100.

SHAH ALAM – Seorang buruh binaan warga Indonesia didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah cuba merasuah seorang Lans Koperal polis di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa, Jalan Bestari Jaya, Isnin lalu.

Mohammad Rosyid membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

“Saya minta maaf, (saya) tidak akan mengulangi (perbuatan itu). Saya tidak tahu, tidak faham itu salah,” katanya ketika membuat rayuan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 28 tahun itu didakwa  cuba menyogok Lans Koperal Hersyah Fazli yang bertugas di Balai Polis Bestari Jaya sebanyak RM100 lebih kurang 11.15 pagi supaya terselamat daripada tindakan undang-undang kerana tiada lessen memandu dan dan cukai jalan yang tamat tempoh.

Lelaki itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen
214 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara kurang 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Buruh binaan yang diwakili peguam, Muhamad Fairul Ezany Said kemudian merayu supaya mahkamah menetapkan hukuman denda kepadanya.

Dalam hujahnya, beliau berkata, dia bekerja di negara ini kerana perlu menanggung isteri, ibu bapa dan dua lagi adiknya di Indonesia.

Tambahnya, Rosyid insaf telah insaf dengan perbuatannya itu.

“Ini merupakan kesalahan pertama (anak guam) saya. Bagi pihaknya saya merayu hukuman berbentuk denda dan dia berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

“Dia merayu diberikan peluang untuk terus bekerja di Malaysia dan jadi pencari nafkah untuk keluarga. Keluarganya hanya mampu bayar denda di bawah nilai RM10,000,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairudin memohon mahkamah menetapkan hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada lelaki itu.

Hakim kemudian menetapkan denda sebanyak RM4,000 kepada Rosyid.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada buruh binaan tersebut mencari pekerja tanpa sabitan hukuman penjara yang akan menjejaskan dirinya.

Namun, sekiranya dia gagal membayar denda lelaki itu boleh dipenjara sehingga empat bulan.

“Saya setuju tidak beri hukuman enjara kerana ia tidak baik untuk kamu yang mencari rezeki dalam negara ini jika disabitkan begitu. Tapi saya mahu kamu ambil pengajaran,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here