KUALA LUMPUR – Sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang menimbulkan persoalan ketika ini merupakan satu langkah untuk mengurangkan beban kerja kepada petugas kesihatan dalam kalangan doktor.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu bagaimanapun tidak melibatkan semua doktor, jabatan mahupun fasiliti kesihatan.
Katanya, sistem berkenaan menjadi sistem ketiga yang berjalan selari dengan sistem atas panggilan (on-call) sedia ada dan sistem syif bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan.
“WBB adalah sebuah cadangan perubahan aturan jadual kerja yang dibina oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri berdasarkan libat urus yang dibuat sejak 22 Januari 2024 di beberapa jabatan di fasiliti kesihatan terpilih melibatkan pegawai perubatan dan pakar perubatan secara bersasar.
“WBB bertujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan kualiti hidup dan kebajikan pegawai perubatan serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pelaksanaan WBB adalah untuk mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan aktif daripada maksimum 33 kepada 18 jam bagi setiap sesi kerja kakitangan yang terlibat.
Malah, katanya, ia juga untuk memastikan mana-mana pegawai perubatan tidak bertugas melebihi 24 jam secara berterusan.
Tambah beliau, langkah tersebut juga adalah untuk mengurangkan jumlah waktu bertugas yang kini mencecah 99 jam seminggu (tiga kali atas panggilan seminggu) kepada maksimum 72 jam seminggu.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly memaklumkan, isu mengenai pelaksanaan WBB itu adalah antara perkara yang akan dibincangkan pada sesi pemukiman KKM yang bermula hari ini sehingga 19 Januari depan.
Ujarnya, sebarang perkembangan lanjut berhubung isu tersebut akan diumumkan selepas tamat pemukiman tersebut hujung minggu ini.
“KKM komited untuk menambah baik persekitaran kerja yang menyokong kebajikan dan kesejahteraan yang lebih baik untuk warganya. Seterusnya, KKM akan terus memastikan perkhidmatan terbaik dapat disampaikan demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan semua,” katanya.
Terdahulu sebelum ini, beberapa pihak mempertikai mengenai cadangan tersebut selepas sepucuk surat berkaitan perkara itu tular.
Perkara berkenaan turut mencuri perhatian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang mempertikaikan perkara sama.
Beliau menggesa sistem tersebut yang bakal dikuatkuasakan kepada pekerja penjagaan kesihatan awam ditangguhkan.
Menurutnya, jika WBB dikuatkuasakan, lebih ramai doktor akan keluar daripada terus berkhidmat di hospital kerajaan.
Ini kerana, katanya, terdapat ketetapan dalam sistem itu jika syif tugas doktor ditukar untuk bekerja selama 18 jam dari pukul 3 petang hingga 9 pagi keesokannya yang mana mereka tidak mendapat elaun on call. – MalaysiaGazette