GEORGE TOWN – Seramai tujuh daripada 25 kru nelayan yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu di perairan Teluk Kumbar di sini, semalam didapati positif dadah.
Operasi jam 2 petang itu dilakukan dengan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pasukan Polis Marin (PPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang ini turut menahan seorang suspek yang kehendaki polis.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, operasi tersebut memberi tumpuan kepada pemeriksaan di perairan Teluk Kumbar serta jeti pendaratan ikan di kawasan sekitarnya.
“Sebanyak 25 nelayan telah menjalani ujian saringan air kencing dan tujuh daripadanya didapati positif dadah.
“Penahanan ini adalah hasil daripada maklumat risikan dan aduan awam.
“Selain itu, tiga bot nelayan bersama sembilan kru tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Razali, operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia dan agensi-agensi berkaitan dalam memastikan keselamatan perairan dan pematuhan undang-undang dalam kalangan komuniti maritim di negeri ini.
“Ops Bersepadu seperti ini akan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan pengusaha bot nelayan tempatan sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette