KUALA LUMPUR – UMNO Sabah mempunyai autonomi tersendiri yang memberikan kebebasan kepada parti itu untuk melakar dan menentukan hala tuju politik mereka.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, UMNO Pusat tidak pernah mencampuri hal ehwal UMNO Sabah termasuk dalam menentukan gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Jelas beliau, UMNO Pusat melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hanya memberi nasihat kepada UMNO Sabah berkenaan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk kestabilan politik di negeri berkenaan.
Ini kerana, ujar beliau, UMNO mengambil iktibar daripada sejarah penggal lalu apabila tiga Perdana Menteri dan tiga kerajaan bertukar-tukar dalam tempoh satu penggal yang merugikan rakyat dan negara.
“Nasihat tersebut juga adalah kerana UMNO merupakan sebuah parti nasional dan perlu untuk mencapai keseimbangan agar tidak mewujudkan konflik antara UMNO Sabah dan UMNO Pusat.
“Namun, akhirnya keputusan dan punca kuasa terserah kepada UMNO Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas laporan media yang mendakwa UMNO Sabah hanya mengikuti arahan daripada ibu pejabat parti itu dalam menentukan kerjasama pada PRN Sabah yang akan diadakan tahun ini.
Tambah Suhaimi, autonomi yang dimiliki UMNO Sabah itu bukan sekadar simbolik sebaliknya melambangkan komitmen tinggi UMNO dalam menghormati hak dan suara rakyat Sabah.
Ujar beliau, ia juga diperkasakan ke arah mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai parti nasional yang memahami, membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat di Sabah.
“UMNO Sabah dan rakyat bagai akar di tanah, pucuk ke awan,” katanya. – MalaysiaGazette