Gambar hiasan

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, penggunaan vape semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan generasi muda di Malaysia. Vape sering dipasarkan sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding rokok tradisional.

Namun, fakta dan statistik terkini menunjukkan bahaya tersembunyi yang berkait rapat dengan amalan ini, termasuk kerosakan sel badan kita dan peningkatan kerintangan antibiotik (AMR – antimicrobial resistance). Fenomena ini bukan sahaja membahayakan kesihatan individu, malah membawa implikasi besar kepada kesihatan awam negara.

Menurut kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada tahun 2022, hampir 600,000 remaja di bawah umur 18 tahun dilaporkan menggunakan vape. Kajian itu juga mendedahkan bahawa 78% pengguna vape muda memilih produk berperisa, yang menjadi daya tarikan utama kepada golongan belia.

Statistik ini amat membimbangkan kerana vape, walaupun tanpa kandungan tembakau, tetap mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan secara serius. Peranti vape menghasilkan aerosol dengan memanaskan cecair khas yang biasanya mengandungi bahan seperti nikotin, propilena glikol, gliserin, agen perisa, dan logam berat.

Nikotin, sebagai contoh, bukan sahaja mencetuskan ketagihan tetapi memberi kesan buruk kepada otak remaja yang sedang berkembang, termasuk menjejaskan daya tumpuan dan fungsi kognitif. Bahan seperti propilena glikol dan gliserin pula boleh merengsakan saluran pernafasan apabila dipanaskan. Manakala agen perisa yang dipasarkan sebagai selamat sebenarnya menghasilkan bahan toksik formaldehid dan akrolein semasa pemanasan.

Kajian juga menunjukkan logam berat seperti nikel dan plumbum yang dilepaskan daripada peranti vape boleh menyebabkan kerosakan organ dalaman, termasuk hati dan buah pinggang. Walaupun vape sering dianggap kurang berbahaya berbanding rokok, penyelidikan menunjukkan kesan buruknya pada tahap sel dan imuniti badan. Sebagai contoh, bahan kimia dalam vape boleh menyebabkan tekanan oksidatif (oxidative stress) yang seterusnya meningkatkan risiko kerosakan kepada DNA, lipid, dan protin dalam sel.

Tekanan ini bukan sahaja boleh mempercepatkan penuaan sel tetapi juga meningkatkan risiko penyakit kronik seperti kanser dan gangguan pernafasan. Selain itu, disfungsi mitokondria akibat bahan kimia dalam aerosol vape akan mengurangkan keupayaan sel untuk menghasilkan tenaga, menyebabkan kematian sel dan gangguan fungsi organ.

Dalam jangka masa panjang, pendedahan kepada bahan kimia ini boleh menyumbang kepada penyakit degeneratif yang memerlukan rawatan yang mahal dan berpanjangan. Salah satu isu yang semakin mendapat perhatian ialah bagaimana menghisap vape ini menyumbang kepada peningkatan kerintangan antibiotik, atau AMR.

Tabiat menghisap vape boleh mengganggu keseimbangan bakteria semula jadi dalam saluran pernafasan, mulut, dan kawasan lain tubuh, menjadikan tubuh lebih mudah terdedah kepada bakteria yang tahan atau tidak sensitif kepada antibiotik. Sebagai contoh, pendedahan kepada bahan kimia dalam vape, seperti logam berat, mencetuskan tekanan selektif yang memihak kepada kelangsungan bakteria tahan antibiotik.

Fenomena ini bukan sahaja meningkatkan risiko jangkitan yang sukar dirawat tetapi juga menyumbang kepada krisis kesihatan global yang semakin memburuk. Kesan vape terhadap bakteria akan turut menyebabkan pembentukan biofilm, iaitu lapisan pelindung bakteria yang melindungi mereka daripada antibiotik dan sistem imun. Biofilm ini boleh terbentuk pada pelbagai permukaan dalam tubuh, seperti gigi dan paru-paru, menyebabkan jangkitan kronik yang sukar dihapuskan.

Untuk mengawal gejala menghisap vape dalam kalangan masyarakat, beberapa langkah proaktif perlu diambil. Kempen kesedaran yang menyeluruh perlu dijalankan untuk mendidik orang ramai tentang bahaya tersembunyi vape.Contohnya, KKM boleh meningkatkan inisiatif seperti program “Tak Nak Vape” yang menyasarkan pelajar sekolah dan remaja dengan fakta saintifik yang mudah difahami. Kerajaan juga perlu menguatkuasakan peraturan ketat terhadap penjualan produk vape, termasuk larangan penjualan kepada individu di bawah umur 18 tahun dan kawalan terhadap penggunaan bahan kimia berbahaya dalam cecair vape.

Langkah ini juga boleh merangkumi pendaftaran wajib produk vape yang dijual di pasaran. Selain itu, program berhenti merokok seperti “MQuit” perlu diperluaskan untuk merangkumi pengguna vape. Sokongan psikologi, kaunseling, dan terapi nikotin boleh membantu individu yang ketagihan untuk berhenti.

Kerjasama antara ibu bapa, sekolah, dan organisasi komuniti juga penting untuk membendung gejala ini. Aktiviti komuniti seperti ceramah kesihatan dan bengkel anti vape boleh meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja dan ibu bapa. Pada masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas terhadap penjualan vape secara haram dan cecair vape buatan sendiri adalah penting untuk mengurangkan risiko tambahan kepada pengguna.

Dari perspektif Islam sendiri, tanggungjawab menjaga kesihatan dan menghindari perkara yang memudaratkan diri serta orang lain adalah kewajipan setiap individu. Prinsip maqasid syariah yang memfokuskan kepada pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs) dan akal (hifz al-‘aql) sangat menekankan kepentingan aspek ini. Amalan seperti menghisap vape ini, yang terbukti membahayakan kesihatan fizikal dan mental, jelas bertentangan dengan nilai-nilai ini.

Pengharaman terhadap tindakan yang membawa kepada kemudaratan diri termasuk gejala menghisap vape ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan…” (Surah Al-Baqarah, ayat 195). Berdasarkan dalil ini, penggunaan vape, khususnya dalam kalangan remaja, boleh dianggap sebagai tindakan yang secara langsung membahayakan diri.

Sifat ketagihan menghisap vape bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap kesihatan tetapi juga membawa kepada pembaziran kewangan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan…”(Surah Al-Isra’, ayat 27). Membelanjakan wang untuk membeli produk vape yang tidak memberikan manfaat malah memudaratkan kesihatan dan akal adalah bentuk pembaziran yang tidak seharusnya diamalkan oleh umat Islam.

Oleh: Prof Madya Dr Nuruliza Roslan, Pensyarah, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia

Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor, Pensyarah, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here