Forest City di Iskandar Puteri menjadi lokasi pertama di Malaysia dengan menawarkan kadar cukai sifar peratus untuk SFO.

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 11 syarikat pelabur domestik dan antarabangsa menunjukkan minat beroperasi di Zon Kewangan Khas Forest City (Forest City SFZ) yang diumumkan pada 25 Ogos lalu.

Jumlah terkini itu dijangka terus meningkat susulan termeterainya perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) baru-baru ini dengan Forest City diumum secara rasminya sebagai Flagship G untuk inisiatif khusus dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Timbalan Presiden Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Syarul Izam Sarifudin percaya, perkembangan tersebut bakal meningkatkan lagi minat pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di zon kewangan berkenaan.

“Susulan pengumuman yang dibuat, kita melihat peningkatan minat dalam kalangan pelabur terhadap Forest City sekali gus komited untuk memacu pelaksanaan program itu dengan jayanya.

“Kami yakin 2025 akan terus memberi lebih banyak impak positif terhadap ekonomi dan pembangunan di Forest City yang diisytihar sebagai Zon Bebas Cukai pada 15 November lalu.

“Pengumuman Forest City SFZ, zon bebas cukai serta JS-SEZ bakal menjadikan kawasan ini nukleus kepada pertumbuhan ekonomi bukan sahaja di Johor tetapi Malaysia secara amnya,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya komited untuk bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar.

Selain itu, Syarul Izam memaklumkan, lawatan kerja luar negara kerajaan Johor pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) baru-baru ini telah menarik minat pelabur sektor kewangan terhadap Forest City SFZ.

“Lawatan ke DIFC adalah satu sesi pembelajaran dan perpindahan kepakaran khususnya buat Forest City. Kita bukan mahu menyaingi mereka sebaliknya mahu melihat apa yang boleh dipelajari.

“Manfaat yang terhasil daripada pelbagai inisiatif ini tidak hanya melibatkan pemain industri yang membuat pelaburan di Forest City, tetapi penduduk setempat melalui peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi sektor hiliran yang bakal terhasil,” ujarnya.

Hasil kunjungan ke Dubai itu katanya, beberapa pihak sudah menunjukkan minat untuk melabur dan membuka perniagaan mereka di FC-SFZ pada masa depan termasuk bidang Kecerdasan Buatan (AI).

Katanya, Forest City menyokong pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur kawasan sekitar khususnya di Gelang Patah bagi meningkatkan lagi daya tarikan kawasan berkenaan pada masa depan.

“Gelang Patah akan menjadi destinasi pilihan menerusi pelbagai kemudahan tersedia seperti pelabuhan, akses kepada Singapura, kawasan perindustrian dan kemudahan rekreasi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here