LANGKAWI- Thailand dan Malaysia akan bekerjasama menerusi ASEAN bagi menangani penipuan dalam talian termasuk melibatkan aktiviti rentas sempadan yang semakin menjadi-jadi.
Menteri Luarnya, Maris Sangiampongsa berkata, satu tindakan kukuh diharap dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.
“Kami belum berbincang mengenai butiran lanjut (mengenai perkara itu). Biarlah pegawai-pegawai kami bekerjasama untuk menjayakannya tetapi apa yang saya bincangkan bersama Malaysia (diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan) adalah kami mahu sesuatu yang kukuh boleh dicapai menjelang akhir tahun ini.
“(Namun), sekiranya langkah itu dapat dilaksanakan lebih awal, pastinya kita tidak perlu menunggu sehingga hujung tahun. Apa yang kami mahukan adalah, sesuatu dapat dicapai semasa Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Mohamad sempena Permukiman Menteri Luar ASEAN di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, Perdana Menteri Thailand semasa bercakap di mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN menggesa kerjasama serantau memerangi penipuan dalam talian.
Paetongtarn Shinawatra membuat gesaan itu sehari selepas beliau mendedahkan menerima pesanan suara menerusi telefon yang sangat mirip dengan suara seorang pemimpin terkenal dunia.
Katanya, “pemimpin tersebut” meminta Bangkok memberikan “sumbangan”.
Dalam pada itu, Mohamad ketika ditanya apakah ASEAN akan bekerjasama dengan China dalam mengetatkan penguatkuasaan, Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN, esok.
Katanya, agenda perbincangannya dengan Maris hari ini hanya berkisar isu-isu umum serta kerjasama yang boleh dilakukan bersama keluarga ASEAN.
“Melihat kepada geopolitik dan geoekonomi yang berlaku di seluruh dunia sekarang, saya rasa rugi jika ASEAN tidak bekerjasama.
“Disebabkan itu, kita memilih inklusiviti dan kelestarian sebagai tema tahun ini. Kita perlu inklusif dan ASEAN mesti bekerja bersama-sama,” katanya.
Permukiman Menteri Luar ASEAN selama dua hari ini dihadiri oleh menteri luar dan perwakilan dari 10 negara anggota manakala Timor-Leste yang bakal menjadi ahli ke-11 ASEAN diwakili Menteri Luarnya yang hadir sebagai pemerhati.
Permukiman ini menandakan mesyuarat besar pertama di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, membuka tirai bagi tahun yang sibuk dan penting di hadapan.
Malaysia pernah menjadi pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.- MalaysiaGazette