KUALA LUMPUR – Seramai 10 murid pribumi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Mas, Tangkak, Johor bersama empat guru pengiring telah menyertai sambutan Ponggal di kediaman pengetua sekolah itu.
G. Sivah, salah seorang guru di sekolah itu berkata, sambutan itu bertujuan memperkenalkan murid kepada tradisi masyarakat India sekaligus memberi pendedahan tentang sejarah dan asal usul perayaan Ponggal.
“Ini membantu murid-murid mengenali perayaan Ponggal dan asal usul perayaan ini. Murid-murid yang hadir turut terlibat secara langsung dalam penyediaan Ponggal, satu hidangan manis tradisional yang menjadi simbol utama perayaan tersebut dan pengalaman ini memberikan peluang kepada mereka untuk memahami adat resam masyarakat India,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sivah, para peserta juga dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan tradisional masyarakat India.
Jelasnya, inisiatif itu bukan sahaja memperkayakan ilmu murid tentang kepelbagaian budaya malah mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan mereka.
Sambutan yang sama juga menjadi platform bagi murid-murid untuk membina hubungan silaturahim yang lebih erat dengan masyarakat India, selain mengukuhkan nilai perpaduan dan keharmonian yang penting dalam masyarakat majmuk. – MalaysiaGazette