Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin bercakap pada sidang media sempena mesyuarat pemukiman Menteri Luar ASEAN di Langkawi, Kedah. Foto MALAYSIA GAZETTE, 17 JANUARI 2025.

LANGKAWI- Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) selama dua hari yang bermula hari ini bakal membincangkan beberapa agenda utama antaranya isu-isu melibatkan Myanmar dan pertikaian di Laut China Selatan.

Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, beberapa isu lain yang turut disentuh pada mesyuarat itu adalah penipuan dalam talian rentas sempadan dan pemerdagangan manusia.

“Sudah empat tahun dan usaha diteruskan untuk membantu Myanmar dalam menyelesaikan situasi ini.

“Persoalannya, adakah isu keganasan Myanmar akan dibincangkan? Sudah pastinya, isu ini akan dibincangkan dalam permukiman ini.

“Selain itu, kebimbangan terhadap jenayah rentas sempadan, penipuan pekerjaan dalam talian atau penipuan secara umum turut akan dibincangkan.

“Ini telah menjadi kebimbangan utama bukan sahaja untuk anggota ASEAN tetapi juga rakan-rakan di luar ASEAN,” katanya pada sidang media khas menjelang Permukiman Menteri-Menteri Luar Asean, di sini, semalam.

Tambah beliau, Malaysia terus komited dalam mengatasi krisis politik dan kemanusiaan yang berlaku di Myanmar dan selaku Pengerusi Asean 2025, Malaysia akan mencari jalan damai dan merangka laluan ke arah penyelesaian isu keganasan yang berlaku sejak 2021.

Untuk rekod, Myanmar menghantar wakil bukan politik ke AMM yang sekali gus menunjukkan kerumitan krisis yang berlangsung selama empat tahun itu.

Menyentuh mengenai isu Laut China Selatan, Amran berkata, mengekalkan keamanan di perairan yang menjadi pertikaian beberapa negara itu sangat penting.

Ini kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada keselamatan serantau tetapi juga kemakmuran.

Tuntutan bertindih ke atas pulau dan maritim telah menyebabkan ketegangan di Laut China Selatan.

Terdahulu, Amran yang mengetuai Malaysia dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) bertemu rakan sejawatannya dari Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia dan Vietnam sebelum mesyuarat pada Sabtu.

Permukiman AMM selama dua hari itu akan dihadiri oleh menteri luar dan perwakilan dari 10 negara anggota ASEAN manakala Timor-Leste yang bakal menjadi ahli ke-11 ASEAN diwakili Menteri Luarnya yang hadir sebagai pemerhati.

Permukiman AMM akan menandakan mesyuarat besar pertama di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, membuka tirai bagi tahun yang sibuk dan penting di hadapan.

Malaysia pernah menjadi pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pemukiman AMM Langkawi corakkan hala tuju Kepengerusian ASEAN 2025

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here