Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin bergambar bersama Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN pada 'ASEAN Seniors' Offical Meeting' di Langkawi, Kedah. Foto MALAYSIA GAZETTE, 18 JANUARI 2025.

 

LANGKAWI- Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) yang menghimpunkan wakil-wakil utama dari negara anggota ASEAN diadakan di sini, pagi ini bagi mencorakkan asas untuk perbincangan peringkat tertinggi.

Mesyuarat penting itu adalah persiapan bagi sesi Permukiman Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung esok.

Dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, SOM akan menjadi platform kepada pegawai-pegawai kanan untuk mengadakan perbincangan mendalam berhubung isu-isu serantau.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin pada ‘ASEAN Seniors’ Offical Meeting di Langkawi, Kedah. Foto MALAYSIA GAZETTE, 18 JANUARI 2025.

Antara yang hadir Setiausaha Tetap Pemimpin SOM ASEAN Singapura, Albert Chua, Setiausaha Tetap Pemimpin SOM ASEAN Filipina, Theresa P Lazaro, Setiausaha Tetap Pemimpin SOM ASEAN Myanmar, Aung Kyaw Moe dan Naib Menteri ASEAN Timor-Leste, Milena Rangel.

Mesyuarat hari ini juga akan memberikan cadangan serta mempersiapkan pemimpin-pemimpin ASEAN sebelum berlangsungnya perbincangan peringkat menteri, esok.

Bertemakan Keterangkuman dan Kelestarian itu akan memberi fokus kepada keutamaan Malaysia semasa menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.

Keutamaan Malaysia antara lain adalah mengukuhkan Kordinasi ASEAN menerusi dialog berterusan dan menggalakkan kepercayaan strategik dalam kalangan negara anggota.

Malaysia juga akan berusaha untuk meningkatkan intra-perdagangan dan pelaburan ASEAN serta memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi dan transformasi digital.

Selain itu, Mesyuarat SOM juga akan memuktamadkan agenda bagi permukiman esok yang antara lain memberi fokus terhadap cabaran dalam menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan, krisis Myanmar serta kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN.

Persiapan bagi mesyuarat ini merupakan langkah penting dalam proses ASEAN yang bermatlamat menyatukan pendirian semua negara anggota mengenai isu-isu serantau yang perlu dibincangkan dan dalam masa sama memastikan permukiman ini berjaya.

Ia dijangka turut meneroka jalan bagi meningkatkan kerjasama serantau terutama dalam menangani isu-isu semakin mendesak seperti jenayah rentas sempadan dan ancaman siber. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here