Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek sedang melarikan diri selepas lari dari IPD Tangkak.

TANGKAK – Suspek kes dadah yang melarikan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak Rabu lalu sebelum sempat didakwa, berjaya diberkas semula selepas bersembunyi di Kluang.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, Mohd Saifulnizam Zakaria, 38, diberkas pada pukul 10.50 pagi tadi dalam sebuah rumah.

“Menerusi maklumat awam Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tangkak dibantu polis daerah Kluang, pihak polis ke tempat kejadian dan membuat tangkapan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, pihak polis mengesahkan lelaki tersebut merupakan tahanan yang sememangnya dikehendaki polis setelah melarikan diri dari kawalan polis pada 15 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hasil tangkapan membawa kepada penemuan dan rampasan sebuah motosikal jenis Honda RSX biru yang hilang dan digunakan suspek untuk melarikan diri.

Menurut beliau, hasil pandu arah suspek utama tersebut, pihak polis berjaya menangkap dua rakan suspek disyaki bersubahat melindungimya semasa melarikan diri.

Beliau memberitahu, suspek bersama-sama dua rakan subahatnya dibawa ke IPD Tangkak untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada jagaan yang sah.

Roslan mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkap suspek yang dikehendaki.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang Rabu, Saifulnizam yang merupakan Orang Kena Tuduh (OKT) sedang dalam proses untuk dituduh di mahkamah di sini melarikan diri dari IPD Tangkak.

Suspek berkenaan sedang di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here