KUANTAN – Penganjuran Program Mesra Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama industri dan agensi mengukuhkan lagi ikatan persahabatan, kerjasama antara semua dan mempertingkatkan jaringan yang lebih erat.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias berkata, penganjuran program seperti itu merupakan satu lagi sinergi penting dalam pengembangan jaringan strategik UMPSA dengan industri.
“UMPSA sebagai salah sebuah Universiti Teknikal di bawah Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sentiasa komited untuk membina kerjasama bermakna bersama pihak industri.
”Ia sebagai usaha untuk melahirkan graduan yang kompeten, kalis cabaran dan menepati kehendak industri pada masa kini,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian sejurus meraikan rakan kolaborasi sempena penganjuran kejohanan persahabatan sukan golf di Glenmarie Golf & Country Shah Alam anjuran Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) hari ini.
Yatimah yakin pertemuan tersebut membolehkan universiti membina hubungan jaringan dan rangkaian komunikasi dan berkongsi perkembangan serta pencapaian universiti.
”Kerjasama ini juga boleh dijalin contohnya dalam aspek Pembelajaran Berasaskan Kerja atau Work-Based Learning (WBL) yang merupakan salah satu kaedah pembelajaran bagi memastikan para pelajar dapat menguasai kandungan pembelajaran berasaskan aktiviti bekerja,” katanya.
Selain itu, kerjasama yang boleh dirintis mencakupi geran padanan industri, peluang pekerjaan kepada graduan UMPSA, penempatan staf dan pelajar bagi mengikuti Latihan industri.
Pihak industri bekerjasama dalam tujuh bidang fokus utama UMPSA iaitu Energy Sustainability, Material Science, Management & Social Science, Artificial Intelligence, Biotechnology, VehicularTechnology dan Fine & Specialty Chemical. – MalaysiaGazette