LANGKAWI – Menteri-Menteri Luar ASEAN menzahirkan komitmen untuk memudahcara penyertaan Timor-Leste dalam blok berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Menteri-Menteri Luar ASEAN juga mengalu-alukan kemajuan Timor-Leste dalam melaksanakan Hala Tuju Keanggotaan Penuh negara tersebut.
“Ramai yang menzahirkan keperluan untuk menyokong usaha Timor-Leste menerusi pembangunan kapasiti serta program sokongan teknikal khusus,” katanya semasa sidang media Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN 2025, di sini, hari ini.
Timor-Leste kini menunggu konsensus negara anggota ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh blok serantau itu, setelah memohon keanggotaan pada 2011.
Pada November 2022, semasa kepengerusian Kemboja, ASEAN secara prinsipnya menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 dan memberikan status pemerhati, membolehkan negara itu menyertai semua mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno pada Sidang Kemuncak.