LANGKAWI- ASEAN mahu sistem demokrasi dan keamanan dikembalikan semula di Myanmar.
Bagaimanapun menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, sekiranya Myanmar mahu mengadakan pilihan raya, mereka perlu pastikan ia merangkumi semua lapisan masyarakat di negara itu.
“Myanmar perlu menghentikan keganasan dan pastikan bantuan kemanusiaan sampai ke semua lapisan masyarakat.
“Kami juga mahu melihat Myanmar ditadbir oleh kerajaan yang demokratik sepenuh dan berhenti daripada menindas rakyat sendiri.
“Berkenaan pilihan raya, sekiranya ia dilakukan secara berasingan (isolation) dan bukannya inklusif, lebih baik Myanmar utamakan keamanan berbanding mengadakan pilihanraya,” katanya semasa sidang media sempena Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN 2025, di sini.
Disember lalu, media melaporkan junta Myanmar merancang untuk mengadakan pilihanraya pada tahun ini.
Pengumuman itu dibuat selepas sebulan pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) mengumumkan pejabatnya sedang mendapatkan waran tangkap terhadap Ketua Junta, Ming Aung Hlaing kerana menghalau dan membunuh etnik Rohingya yang beragama Islam.
Ketika ditanya mengenai cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengecualikan Myanmar daripada ASEAN susulan krisis kemanusian yang berlaku sejak empat tahun lalu, Mohamad berkata, ia cerita lama.
Jelasnya, ASEAN kini tidak sabar untuk mengadakan dialog aman bersama Myanmar dan dalam masa sama mencari jalan terbaik untuk memastikan kestabilan di negara tersebut.
“Kita tidak mempunyai hasrat untuk mengecualikan Myanmar dan kami akan mencari jalan terbaik bersama-sama – sama ada sebagai rakan dialog dan juga sebagai negara jiran dalam memastikan kestabilan di negara itu dan mengembalikan sistem demokrasi,” katanya ketika mengulas kenyataan yang dibuat Anwar pada November, tahun lepas.
Menyentuh mengenai pelantikan Tan Sri Othman Hashim sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Mohamad berkata, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar itu merupakan individu paling tepat memikul tanggungjawab berkenaan.
Ini kerana, Othman yang merupakan bekas Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Duta Besar ke Amerika Syarikat itu berpengalaman dalam kaitan diplomatik.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), merupakan utusan khas kelima yang dilantik sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang mencetuskan krisis politik dan kemanusiaan di negara itu.- MalaysiaGazette