JOHOR BAHRU – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan anggotanya meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemandu di Tambak Johor di sini kelmarin, seperti yang tular dalam media sosial di Singapura.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengambil serius dakwaan dalam Facebook Singapore’s Guide To JB yang memaparkan gambar seorang anggota meminta dan menerima wang secara tidak sah daripada pemandu di Tambak Johor.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian ini berlaku pukul 5 hingga 6 petang, pada 16 Januari lalu di Jalan Tambak Johor kira-kira 500 meter dari Bangunan Sultan Iskandar menghala ke Singapura.
“Ketika kejadian seramai empat anggota trafik sedang menjalankan penguatkuasaan kesalahan lalu lintas iaitu potong barisan di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sepanjang tugas dilaksanakan, sebanyak 69 keping saman atas kesalahan potong barisan dikeluarkan kepada pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Semua anggota yang bertugas pada hari itu katanya, telah dirakamkan keterangan dan mengesahkan mereka menjalankan tugas mengikut prosedur ditetapkan.
“Mereka juga menafikan sebarang bentuk permintaan atau penerimaan wang daripada mana-mana pemandu seperti dalam gambar yang tular,” katanya.
Pihak IPD Johor Bahru Selatan katanya, sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk memastikan tiada unsur jenayah atau salah laku yang melibatkan anggotanya.
“Jika terdapat bukti kukuh, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota yang melanggar undang-undang dan mencemarkan nama baik pasukan.
“Sehingga kini tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan tersebut. Polis juga memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih yang boleh mencemarkan reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.
Tegas Raub, tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan sedia ada.
PDRM katanya, menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut untuk tampil memberi keterangan di IPD Johor Bahru Selatan atau menghubungi Asisten Komisioner Idham Abdullah 07-2182222.- MalaysiaGazette