KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kekal mewakili pelbagai kaum dan gabungan Perikatan Nasional (PN) mengamalkan demokrasi dengan membuka peluang perbezaan idea dan pendapat.
Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, meskipun ada parti-parti lain mempunyai tuntutan berkaitan bangsa namun ia tidak menghalang Gerakan terus memperjuangkan hak-hak secara majmuk dan menyeluruh bagi rakyat negara ini.
“Gerakan sebagai sebuah parti yang mewakili pelbagai kaum, komponen-komponen dalam gabungan sudah pasti tidak dapat lari daripada perbezaan idea dan pendapat dalam sesuatu perkara, tetapi “we agree to disagree”, yang merupakan tanda demokrasi dan keindahan hubungan toleransi yang ditonjolkan antara sesama komponen PN,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis politik menerusi sebuah portal berita semalam yang menyifatkan matlamat Gerakan mengubah naratif politiknya yang berasaskan etnik kepada perjuangan berasaskan ‘kebimbangan sejagat’ sukar dicapai sekiranya masih bersama PN.
Mengulas lanjut jelas Wendy, parti itu kesal apabila wujud sikap dua darjat dan hipokrit yang ditunjukkan oleh pihak yang mengkritik Gerakan kerana meneruskan perjuangan kaum yang majmuk di dalam PN.
“Sedangkan parti-parti dan pemimpin Pakatan Harapan juga pernah bersama dengan sahabat komponen kami sebelum ini dalam gabungan Pakatan Rakyat tanpa menzahirkan sebarang isu berkaitan agama dan kaum ketika itu.
“Namun, apabila kini kami bersama Pas, tiba-tiba ia menjadi sesuatu perkara yang tidak boleh diterima dan dipandang enteng oleh segelintir pihak tersebut,” tambahnya.
Menurut Wendy, pendirian Gerakan tidak wajar dihalang dan dipandang rendah oleh mana-mana pihak yang mahu memecahbelahkan keharmonian politik dan masyarakat dalam negara.
Sebaliknya katanya parti itu bergerak bersama PN dengan politik yang matang.
“Gerakan sentiasa komited untuk memberikan fokus sepenuhnya terhadap kepentingan dan kebajikan seluruh rakyat Malaysia, dan kami tidak mahu terjebak dengan politik kotor dan reformasi palsu. Kami juga tidak mahu menjanjikan roket tetapi hasilnya hanya sekadar tin kosong, dan tidak mahu bergerak tanpa memenuhi amanah yang telah dipikul.
“Bersama kita bergerak ke arah politik yang matang, merealisasikan Bangsa Malaysia, dan menghormati rakyat. Biar rakyat menentukan kesetiaan kami,” tambahnya. – MalaysiaGazette