KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pembangkang, Fadhli Shaari menjangkakan tiada tindakan akan diambil terhadap tindakan terbaharu mendaulatkan bendera China yang berlaku dalam satu perarakan kebudayaan di Muar, Johor.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, seperti kes mendaulatkan bendera China sebelum ini, kronologi isu itu akan mengikut turutan termasuk laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak.
Kemudian disusuli permohonan maaf daripada pihak penganjur dan ahli-ahli Parlimen tampil mempertahankan tindakan pihak berkenaan dalam Dewan Rakyat dan akhir sekali tiada tindakan diambil terhadap pihak terbabit.
“Seperti biasa, ia berlaku mengikut turutan, perarakan bendera, laporan polis, siasatan bermula, penganjur minta maaf.
“Ahli-ahli Parlimen mereka pertahankan dalam dewan, kes tutup, tiada pihak didakwa. Kemudian mula balik dari nombor satu dan seterusnya hinggalah abang Jamil …,” katanya.
Media melaporkan, tiga kertas siasatan dibuka susulan terdapat bendera China yang dipamerkan pada replika naga ketika perarakan kebudayaan di Muar, Johor hingga tular di media sosial.
Dalam perarakan sempena ulang tahun ke-20 gabungan persatuan Tionghua daerah itu, ia mempersembahkan tarian singa dan replika naga terpanjang di Malaysia di beberapa jalan utama.
Namun, terdapat bendera China selain Jalur Gemilang dikesan pada replika naga terbabit sebelum ditularkan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, bendera itu dikesan ketika pemantauan polis semasa perarakan berlangsung pada jam 6.10 petang.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan; Seksyen 6 (2) Akta Perhimpunan Aman 2021 dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
Sebelum ini pada Oktober tahun lalu negara digemparkan dengan pengibaran bendera China semasa Sambutan Guan Gong Sedunia di Menara Condong, Teluk Intan.
Penganjur kemudian memohon maaf atas pengibaran bendera China dan mendakwa perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia.
Pada 26 Disember lalu, bendera China ditampal pada replika roket di sebuah karnival di Tangkak Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani berkata, laporan polis berhubung insiden itu sudah dibuat Pemuda UMNO Bahagian Ledang.
Majlis Daerah Tangkak (MDT) kemudian mengarahkan festival itu ditamatkan serta merta dan struktur roket tertera bendera China diturunkan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan susulan aduan penduduk. – MalaysiaGazette