Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari bercakap pada sidang media selepas Majlis Hi-Tea Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 20 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sentiasa terbuka untuk menerima sebarang aduan berhubung kiraan pencen, susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Beliau berkata, JHEV telah membuka ‘war room’ untuk memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan kepada bekas-bekas tentera.

“Kalau ada persoalan berbangkit (mengenai) pendapatan atau kaedah pengiraan itu saya fikir JHEV sentiasa terbuka untuk terima aduan mahupun bagaimana pengiraan dibuat.

“Sebab itu, sejak sebelum penyelaras pencen itu, anggota veteran kita memang diberi makluman tentang kaedah pengiraan dan bagaimana mereka boleh dapatkan formula pengiraan itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea JHEV yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Kahled Nordin.

Pada 23 Disember lalu, media melaporkan kira-kira 30 orang bekas tentera hadir ke JHEV Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan berhubung kiraan pencen, susulan pelaksanaan SSPA.

Salah seorang daripada mereka mendakwa, kebanyakan mereka tidak menerima kenaikan sebanyak lapan peratus.

Pada 7 November tahun lepas, Mohamed Khaled dilapor berkata, veteran tentera yang bersara sebelum Januari 2013 akan menerima pelarasan pencen fasa pertama sebanyak 8 peratus pada Disember, berdasarkan gaji akhir pada 2012.

Jelasnya, penyelarasan tersebut dibuat mengikut formula pencen yang terdapat dalam Peraturan ATM Tetap 1982.

Dalam pada itu, Adly berkata, sekiranya terdapat bekas tentera tidak berpuas hati berhubung kiraan pencen itu mereka  boleh berhubung terus dengan JHEV.

Katanya, JHEV juga telah menghebahkan di semua media sosial mereka untuk memastikan bekas tentera mendapat maklumat berhubung pelarasan pencen itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here