KUALA LUMPUR – Tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengeluarkan perintah larangan bersuara atau gag order dalam isu kes titah adendum menimbulkan persoalan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Zaid Ibrahim membuat andaian, AGC menerima arahan daripada peringkat tertinggi.
“Di bawah sistem pemerintahan Westminster, AG mewakili cabang eksekutif kerajaan pada masa itu dan bertindak sebagai penasihat kepadanya. Walaupun dilantik oleh Perdana Menteri, tugasnya adalah kepada Kabinet
“Apabila AG ini memfailkan perintah gag, adakah beliau mengambil arahan daripada Kabinet? Atau dia ikut apa yang PM baru suruh? Yang terakhir mungkin,” soal beliau.
Zaid berkata, langkah yang dibuat oleh AGC memfaikan gag order tidak mungkin arahan daripada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said, UMNO mahupun DAP.
“Siapa yang diwakili AG? Sekarang kita tahu bahawa Peguam Negara telah memfailkan permohonan gag order. Siapa pelanggannya?
“Azalina dilaporkan berkata tidak kepada perintah gag itu. Jelas sekali, dia tidak mempunyai suara dalam kerajaan. Langsung tidak diendahkan oleh AG
“Apakah kedudukan UMNO? Pendirian yang lemah dan tegas itu mungkin tidak diendahkan juga oleh AG
“Apakah kedudukan DAP? Parti ini terkenal kerana mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan tetapi kini benar-benar bisu. Bagi DAP Anwar adalah “segala-galanya,” kata beliau.
AGC memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengeluarkan perintah larangan bersuara atau gag order dalam isu kes titah adendum lewat petang semalam melalui e-filing.
Perintah itu bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Media melaporkan, perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan.
Manakala Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee juga mengesahkan kepada MalaysiaGazette bahawa permohonan AGC telah difailkan kira-kira jam 7.45 malam.-MalaysiaGazette