Foto: JBPM Perak.

SITIAWAN – Empat sekeluarga cedera selepas kereta dinaiki mereka melanggar tayar kiri lori tangki muatan minyak yang tercabut di KM199 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, di sini, malam tadi.

Mangsa yang cedera merupakan penumpang bahagian hadapan seorang wanita berusia 36 tahun yang tersepit, pemandu lelaki berusia 35 tahun, dan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berumur tiga dan empat tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian diterima pihaknya pada jam 8.40 malam.

Beliau berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan Seri Manjung digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.58 malam.

“Setibanya dilokasi kejadian anggota mendapati berlakunya kemalangan melibatkan tiga buah kereta telah melanggar tayar kiri lori tangki 45 tan muatan minyak yang tercabut.

“Kemalangan melibatkan kereta jenis Toyota Yaris, Honda Civic, Mercedes dan lori tangki Volvo di mana pemandu dan penumpang Toyota Yaris mengalami kecederaan, manakala mangsa kenderaan lain dilaporkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sabarodzi berkata, Ketua Operasi kemudiannya melaksanakan ‘size-up’ sebelum mengaplikasikan konsep ‘SAVER’ dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hydraulic sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

“Seorang mangsa yang tersepit dibawa oleh EMRS manakala 3 mangsa yang cedera diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi yang dianggotai 10 orang anggota dari dua BBP itu tamat sepenuhnya pada jam 10.36 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here