KUALA LUMPUR – Pelawak dan pelakon Harith Iskander tidak seharusnya bersikap sarkastik dalam isu membabitkan sandwic ham yang menyalahgunakan logo halal.
Pendakwah bebas Firdaus Wong berkata, seharusnya pelakon itu bersikap positif apabila ada orang Islam yang mengambil berat isu makanan halal yang dijual di tempat awam.
“Tidak perlulah saudara sarkastik dengan kononnya iman saudara tergugat dan sebagainya. Jika ada individu yang saudara tidak berpuas hati dan senang terus namakan individu tersebut bukannya membuat lawak sarkastik begitu.
“Bukankah ianya sesuatu yang bagus seseorang muslim itu peka dengan halal dan haramnya? Sedarkah saudara dengan posting saudara yang kononnya orang lain telah kehilangan logik, saudara sendiri tidak logikal di situ?
“Saya sedar ramai peminat saudara mungkin dari kalangan belum muslim tetapi perlu begitu try hard untuk memenangi hati mereka sehingga le tahap ini” katanya.
Pendakwah itu bagaimanapun berterima kasih kerana Harith Iskander membuat hantaran terbabit di media sosialnya.
Tindakan itu mendedahkan terdapat dalam kalangan peminat Harith Iskander bersikap islamophobia dan bermulut celupar seperti pengguna dengan akaun bernama Cecelia.
“Adakah individu seperti Cecelia ini merupakan majoriti peminat saudara atau dia hanya minoriti?
“Adakah boleh umat Islam yang merasa marah dengan keceluparan Cecelia itu membuat kesimpulan bahawa orang yang meminati lawak saudara adalah orang yang celupar dan kurang ajar?
“Iman saya tidak tergugat dengan perkataan ham, hot dog atau babi sekalipun sebagaimana tergugatnya segelintir individu yang tergugat dengan nombor empat, Jawi, bahasa Melayu dan songkok serta Islam,” kata Firdaus.
Media sebelum ini melaporkan polis melakukan siasatan terhadap perkongsian yang dibuat oleh Harith Iskander di Facebooknya membabitkan isu sandwish ham and cheese yang dijual dalam hampus Universiti Malaya.-MalaysiaGazette